My Add

Saturday 8 September 2012

Ke arah pendapatan seimbang

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 07 September, 2012: Seorang penganalisis ekonomi meramalkan Bajet 2013 yang bakal dibentangkan di Parlimen hujung bulan ini akan menumpukan kepada usaha pengagihan pendapatan seimbang ke arah membawa kemakmuran terutama kepada masyarakat berpendapatan rendah.

Profesor Dr. Barjoyai Bardai berkata, cabaran paling utama setiap kali kerajaan merangka bajet negara adalah untuk mengimbangi antara pendapatan dan perbelanjaan negara agar ia menjadi satu pelan kewangan yang produktif.

Barjoyai yang juga merupakan Pengarah Bersekutu Akademik dan Program Global MBA, Universiti Tun Abdul Razak berkata, ketika ini kerajaan sudah pun mempunyai perancangan untuk mengurangkan defisit bajet tetapi ia perlu dilakukan secara beransur-ansur.

"Kerajaan berdepan dengan sekatan yang mana di satu pihak matlamatnya perlulah untuk mengurangkan perbelanjaan, sementara di satu pihak lagi perlu memastikan belanjawan menjadi sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada semua golongan," katanya semasa temu bual program "Dalam Radar", terbitan Bernama Radio24, menjelang pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 September.

Katanya, beberapa insentif, kemudahan serta bantuan yang ditawarkan kepada masyarakat sebelum ini dijangka diteruskan dalam bajet kali ini bagi menggambarkan bahawa apa yang dimulakan itu merupakan suatu yang serius dan bukan dilakukan sekali sahaja.

Beliau juga yakin kerajaan mampu mengimbangi antara kemampuan negara dan juga tumpuan terhadap pengagihan kemakmuran rakyat, selain memastikan matlamat untuk mencapai negara maju menjelang 2020, walaupun ketika negara berdepan dengan cabaran ekonomi dunia.

"Berasaskan kepada unjuran dan program yang dilaksanakan di sektor yang difokuskan, selain kemasukan pelaburan asing, matlamat bagi mencapai pendapatan perkapita AS$15,000 (RM49,000) setahun menjelang 2020 mampu dicapai dalam jangka masa yang ditetapkan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment