My Add

Wednesday 12 September 2012

Kerjasama NADI, Lion Grup tingkat industri penerbangan serantau - Najib

KUALA LUMPUR, SELASA, 11 September, 2012: Kerjasama di antara National Aerospace & Defence Industries Sdn. Bhd. (NADI) dan P.T. Lion Grup dapat mewujudkan sinergi dalam perkongsian sumber-sumber dan kepakaran yang dimiliki masing-masing untuk meningkatkan industri penerbangan dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, NADI merupakan pemain penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat utama negara, manakala P.T. Lion Grup adalah pengendali kumpulan syarikat-syarikat penerbangan tambang murah antara terbesar di rantau Asia Tenggara yang berpangkalan di Indonesia.

Beliau berkata, kerjasama menubuhkan syarikat penerbangan Malindo Airways tersebut merupakan satu inovatif dan bentuk kerjasama yang akan memberi manfaat kepada satu sama lain.

Katanya, kerjasama itu amat penting demi survival dalam perniagaan penerbangan yang kompetitif pada waktu ini selain dunia berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi.

"Sebagaimana kita semua tahu, industri penerbangan pada waktu ini berhadapan dengan banyak cabaran getir terutamanya dalam peningkatan kos operasi dan peningkatan harga bahan api.

"Cabaran-cabaran tersebut berpunca daripada permintaan penerbangan yang amat tinggi di dunia terutamanya dalam segmen tambang murah,'' katanya.

Beliau berucap dalam majlis menandatangani perjanjian di antara NADI dan P.T. Lion Grup di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Pengerusi NADI, Tan Sri Mohamed Hashim Mohd. Ali; Presiden NADI, Tan Sri Ahmad Johan dan Pengarah Presiden P.T. Lion Grup, Rusdi Kirana.

Perjanjian itu meliputi empat skop utama iaitu bagi membentuk sebuah syarikat penerbangan yang berdaftar di Malaysia iaitu Malindo Airways dengan hak penerbangan 10 + 5 tahun kepada Lion Air, perjanjian teknikal bagi pengurusan pesawat keseluruhan, perjanjian teknikal bagi pengurusan rangkaian bekalan aset tidak termasuk pesawat dan perjanjian latihan dan bekalan tenaga mahir kepada Lion Air.

Perdana Menteri berkata, industri penerbangan perlu lebih inovatif dan kreatif bagi meneruskan pencapaian keuntungan dan kekal dalam perniagaan tanpa meminggirkan kebolehpercayaan dan kemampuan pelanggan.

Malah, katanya, kerjasama yang terbentuk hari ini menyediakan syarikat penerbangan baru dengan penjimatan dan kecekapan dalam penyelenggaraan pesawat selain menembusi pasaran baru tambang murah di rantau ini.

"Menjelang 2030, jumlah penumpang penerbangan di Malaysia dijangka meningkat kepada 200 juta orang setahun, manakala perjalanan udara di Asia Pasifik dijangka meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding dunia 5.1 peratus.

"Kita perlu bersedia untuk menembusi pasaran yang menarik dan memberangsangkan ini dengan mengadaptasi dan melakukan perubahan dalam industri pada hari ini bagi jangkaan pasaran masa hadapan,'' ujarnya. -UTUSAN

No comments:

Post a Comment