My Add

Wednesday 5 September 2012

Laporan Daya Saing Global ASEAN: Malaysia kekal kedua

KUALA LUMPUR, RABU, 05 September, 2012:: Malaysia mengekalkan kedudukan kedua di kalangan negara-negara ASEAN dalam Laporan Daya Saing Global 2012-2013.

Laporan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), berpangkalan di Geneva, Switzerland, meletakkan negara di tempat kelapan di antara 22 negara Asia Pasifik mendahului China, India dan lain-lain negara Asean kecuali Singapura, dan meletakkannya di antara 20 peratus teratas negara-negara paling berdaya saing di peringkat dunia.

Laporan itu disampaikan kepada media di sini hari ini oleh Pengarah Kanan Daya Saing Global Malaysia Productivity Corp, Lee Saw Hoon.

"Peningkatan ini diberikan kerana keluaran dalam negara kasar negara meningkat kepada AS$9,700 daripada AS$8,423 sebelum ini," kata Lee.

Laporan itu berkata, sungguhpun mengekalkan markahnya iaitu 5.1, ia turun empat anak tangga kepada tempat ke-25 daripada 144 negara yang dikaji, daripada tempat ke-21 daripada 142 negara pada 2011-2012.

"Di wilayah di mana banyak negara mengalami masalah ketiadaan ketelusan dan banyak birokrasi, Malaysia muncul sebagai negara yang berjaya menangani kedua-dua perkara ini," katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata laporan itu meletakkan Malaysia di antara 10 negara teratas di kalangan 144 negara yang dikaji dalam banyak bidang, termasuk indeks hak undang-undang (tempat pertama), gaji dan produktiviti (ketiga), perkhidmatan kerajaan untuk peningkatan prestasi perniagaan (keempat) dan kekukuhan perlindungan pelabur (keempat).

Malaysia juga mendapat tempat yang tinggi dalam peraturan kerajaan dan kemudahan untuk mendapat pinjaman (kelapan); pembiayaan menerusi pasaran ekuiti tempatan (kesembilan); dan kesan perniagaan pelaburan terus asing, serta keberkesanan rangka kerja undang-undang dalam mencabar peraturan (ke-10).

"Usaha berterusan akan diambil untuk mengenalpasti ruang untuk penambahbaikan dan mengambil inisiatif untuk memastikan perkembangan yang lancar ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang didorong oleh inovasi," kata Mustapa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment