My Add

Thursday 6 September 2012

Najib dijadualkan bertemu Putin

VLADIVOSTOK, Rusia, RABU, 05 Sept.ember, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin semasa Perdana Menteri menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Asia Pasifik (APEC) di sini pada 7-9 September ini.

Ini merupakan langkah penting ke arah usaha Malaysia mewujudkan lebih banyak kerjasama perdagangan dan usaha sama swasta Malaysia-Rusia di rantau Timur Jauh Rusia ini.

Selain itu, Najib juga dirancang akan mengadakan mesyuarat bilateral dengan delegasi dari Thailand, Australia, Filipina, Amerika Syarikat, New Zealand dan Mexico.

Delegasi Thailand diketuai Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, manakala Perdana Menteri Julia Gillard (Australia); Presiden Benigno Aquino III (Filipina); Setiausaha Negara Hillary Clinton (Amerika Syarikat); Perdana Menteri John Phillip Key (New Zealand); dan Presiden Felipe Calderon (Mexico) mengetuai delegasi masing-masing.

Perdana Menteri dijangka tiba di sini pada malam 7 September bagi menyertai Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) pada 8-9 September ini di Pulau Russky dekat sini.

Sidang Kemuncak APEC, yang bermula pada 2 September lalu dengan berlangsungnya Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) pada 2-3 September, akan membincangkan empat ruang kerja utama.

Mesyuarat itu menyentuh isu liberalisasi perdagangan serta pelaburan, termasuk penyatuan ekonomi serantau.

Ia juga membincangkan aspek pengukuhan keselamatan (sekuriti) makanan, pewujudan rantaian pembekalan yang berdaya maju, dan kerjasama bagi menggalakkan pertumbuhan inovasi.

Hari ini dan esok, Mesyuarat Menteri-Menteri (AMM) APEC berlangsung, yang mana Malaysia diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Pada akhir AELM, satu pernyataan akan dikeluarkan sebagai deklarasi pemimpin-pemimpin ekonomi APEC yang akan menyentuh antara lain aspek kerjasama APEC serta hala tuju pertubuhan 21 anggota ekonomi untuk 2013.

Selepas Rusia, Indonesia akan mengambil alih teraju kepimpinan kerja-kerja APEC sebagai pengerusi dan tuan rumah Sidang Kemuncak APEC pada tahun depan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment