My Add

Wednesday 5 September 2012

Pandelela pilih belajar di universiti tempatan

PANDELELA menjadi tumpuan di SMK Bandar Sri Damansara 1, di sini hari ini. - Foto NSTP/Owee Ah Chun
*PANDELELA menjadi tumpuan di SMK Bandar Sri
Damansara 1, di sini hari ini. - Foto NSTP/Owee Ah Chun


KUALA LUMPUR, RABU, 05 September, 2012: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg memilih menyambung pengajian di universiti tempatan kerana mahu terus mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih terjun kebangsaan dari China, Yang Zhu Liang.

Ikon generasi muda itu berkata beliau berminat mengikuti pengajian dalam bidang Sains Sukan dan kini sedang menunggu tawaran daripada universiti sebelum membuat pilihan. 

Pandelela berkata Yang berkemungkinan besar akan terus berada di Malaysia untuk melatih skuad terjun negara di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil. 

"Saya akan sentiasa bersama jurulatih...belajar di sini memberi banyak kebaikan kepada saya, ibu bapa saya juga senang untuk datang ke Kuala Lumpur melawat saya," katanya kepada pemberita selepas dilantik sebagai Ikon Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sri Damansara I, di sini hari ini. 

Atas kejayaan meraih pingat gangsa dalam acara terjun 10 meter platform wanita individu pada Sukan Olimpik London bulan lepas, Pandelela sudah menerima biasiswa daripada Yayasan Cemerlang iaitu pembiayaan penuh melanjutkan pelajaran di Universiti Tun Abdul Razak dalam bidang pilihannya. 

Selain itu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud juga mengumumkan biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran selama empat tahun di Australia dengan pilihan tumpuan kepada bidang jurulatih renang atau pengajian tertiari. 

Sementara itu, konsep kepimpinan melalui teladan 'idola dan karisma' sekolah tersebut yang melantik Pandelela sebagai ikon adalah untuk melahirkan modal insan berkualiti dan berketerampilan. 

Pandelela hari ini turut berkongsi pengalaman beliau ketika beraksi di temasya Olimpik dan memberi kata-kata nasihat kepada pelajar di sekolah berkenaan. 

"Memang tidak dinafikan kehidupan saya selepas pulang dari Olimpik, rutin harian saya bertambah sibuk dan sedikit sebanyak mengganggu rutin latihan harian tetapi saya akan pastikan ia tidak menjejaskan prestasi saya. 

"Sebagai ikon sudah menjadi tanggungjawab untuk memberi contoh terbaik kepada rakan sebaya dan saya juga perlu memberi pendedahan tentang bahayanya dadah kepada diri dan masa depan generasi muda sekarang," kata atlit berusia 19 tahun itu. 

SMK Bandar Sri Damansara I dipilih mewakili Selangor ke Pertandingan Program Pendidikan Pencegahan Dadah peringkat kebangsaan 2012. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment