My Add

Sunday 9 September 2012

KDN sedia kaji SOP penahanan individu yang serah diri

TANJONG KARANG, AHAD, 09 Sepptember, 2012: Kementerian Dalam Negeri bersedia mengkaji Prosedur Operasi Standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung cara penahanan individu yang menyerah diri.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bagaimanapun perkara itu perlu dibincang dengan PDRM terlebih dulu.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Tanjong Karang di sini hari ini, diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping Sieu berhubung tindakan polis menggari seorang gadis yang menyerah diri, selepas didakwa terbabit memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Senator dari MCA itu meminta polis mengkaji semula SOP penangkapan individu terutamanya wanita, remaja, suspek yang tidak ganas dan mereka yang tampil menyerah diri.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, polis mengikuti SOP yang ditetapkan ketika menahan gadis berkenaan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihaknya yakin program pertukaran banduan dengan negara jiran khususnya Indonesia akan dapat diurus dengan baik.

Katanya, usaha itu bukan saja dapat mengurangkan bilangan banduan asing di negara ini tetapi juga membolehkan rakyat Malaysia yang dijatuhi hukum di negara luar menjalani hukuman penjara di tanah air.

Terdahulu ketika berucap, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau kagum dengan gerak kerja yang dibuat UMNO Tanjong Karang di bawah pimpinan Datuk Seri Noh Omar dalam usaha merampas semula Selangor dari tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment