Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS dan HUSSAINI AMRAN
KUALA LUMPUR. SELASA, 04 September, 201: "Masa untuk berkompromi sudah berakhir".
Itulah amaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap peserta-peserta Janji Bersih yang didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk menghina pemimpin dan mengibarkan bendera baru bagi menggantikan Jalur Gemilang ketika berhimpun di Dataran Merdeka, pada 30 Ogos lalu.
Sehubungan itu, penahanan seorang pelajar kolej swasta di Taman Maluri, Cheras, di sini hari ini yang terlibat dalam perhimpunan tersebut adalah amaran bahawa polis tidak akan lagi bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang tidak menghormati undang-undang.
Berikutan itu, polis meminta 10 lagi individu yang diburu menyerahkan diri dalam tempoh 24 jam, sebelum gerakan menahan mereka dilakukan.
Pelajar berusia 19 tahun itu yang ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari dipercayai individu menunjukkan punggungnya pada gambar Perdana Menteri semasa perhimpunan tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, berikutan penahanan berkenaan, polis akan memburu semua individu yang gambar mereka disiarkan di media hari ini.
Kata beliau, pihaknya akan bertindak tegas dan tidak berkompromi terhadap mereka yang terlibat.
"Polis juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai, ibu bapa dan tenaga pengajar kolej itu yang banyak menyalurkan maklumat sehingga individu terlibat diberkas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, polis mengedarkan gambar 11 individu yang dipercayai melakukan pelbagai kesalahan ketika menyertai perhimpunan tersebut.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pelajar semester ketiga program Diploma Multimedia Kreatif itu ditahan sejurus tiba dari Batu Pahat, Johor bersama kedua ibu bapanya.
Katanya, pelajar terbabit dipercayai tidak hadir ke kelas semalam dan melarikan diri ke kampungnya di Batu Pahat, Johor sebelum dibawa keluarganya ke kolej berkenaan hari ini.
Abdul Jalil yang mengetuai operasi penahanan itu berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.
"Polis akan mengambil keterangan pelajar berkenaan bagi membantu siasatan serta menyiasat motif kejadian. Terdahulu, polis telah mengambil dua keterangan daripada dua pelajar lelaki kolej sama sebagai saksi kejadian bagi membantu siasatan tersebut.
"Kedua-duanya dipercayai merakam aksi melampau yang dilakukan pelajar berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerbu kolej swasta berkenaan.
Dalam pada itu, Abdul Jalil memberitahu, polis menyiasat motif perbuatan melampau pelajar tersebut serta mengesan pakaian yang digunakan pada malam kejadian.
"Siasatan awal mendapati pelajar itu melakukan perbuatan tersebut atas kehendak sendiri dengan memberi alasan hadir ke Dataran Merdeka untuk menyertai sambutan pada malam itu," katanya yang menolak kemungkinan tindakan tersebut dipengaruhi tenaga pengajar kolej berkenaan.
Jelas beliau, polis sudah mengesan alamat-alamat kediaman 10 lagi individu yang dipercayai turut terlibat dalam perbuatan melampau pada malam itu.
"Bagaimanapun, polis belum dapat menemui kesemua individu itu di kediaman masing-masing," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi talian hotline PDRM iaitu 03-20319999. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment