My Add

Wednesday 5 September 2012

Komanwel iktiraf Koperasi Sekolah Perempuan St. George


*SHARIFAH Afifah Syed Abbas merakam kenangan selepas membuat
pembentangan di Mauritius pada 24 Ogos lepas atas tajaan Angkasa.

KUALA LUMPUR, SELASA, 04 September, 2012: Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan St. George (SMKPSG) Pulau Pinang mendapat pengiktirafan daripada Sekretariat Komanwel apabila mendapat tempat kedua pertandingan amalan baik koperasi institusi pendidikan negara-negara Komanwel di Mauritius, baru-baru ini.

Pengetua SMKPSG, Shariffah Afifah Syed Abbas berkata, pada Februari lepas pihak sekolah dimaklumkan oleh Sekretariat Komenwel bahawa amalan baik yang dilaksanakan koperasi sekolah itu telah disenarai pendek dalam 20 amalan terbaik di bawah program The School Cooperatives: A Training Ground for Future Entrepreneurs. Dalam kenyataan di sini semalam, beliau berkata, pada Mei lepas pula, SMKPSG dipilih ke pertandingan akhir menerusi 10 daripada 123 amalan baik yang disenaraikan dalam peringkat itu.

Shariffah Afifah berkata, beliau serta seorang pelajar tingkatan empat, Sharifah Musaisha Aina Syed Mustafa dijemput membuat pembentangan di Mauritius pada 24 Ogos lepas atas tajaan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Beliau berkata, pada pertandingan itu, di hadapan empat hakim dari Swaziland, St Lucia, Samoa dan Bangladesh, SMKPSG berjaya meraih tempat kedua daripada puluhan peserta yang mengambil bahagian.

Shariffah Afifah berkata, aktiviti perniagaan koperasi di SMKPSG tidak terhad kepada mengurus kedai buku sahaja tetapi beberapa jenis perniagaan di cawangan asrama, kafeteria, kedai mini, kafe siber, pusat kecergasan, khidmat katering, hotel bajet dan pertanian cili fertigasi.

Beliau berkata, pelajar yang terlibat kini lebih yakin, dapat berkomunikasi, kreatif dan berinovatif manakala prestasi koperasi juga bertambah baik dari setahun ke setahun dan keuntungan bertambah daripada lebih RM6,000 pada 2005 kepada lebih RM131,000 pada tahun lepas. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment