My Add

Monday 10 September 2012

Najib mahu universiti, kolej perubatan beri pendidikan berkualiti

Najib Tun Razak
PUCHONG, ISNIN, 10 September, 2012: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa semua universiti dan kolej perubatan tempatan dan yang menawarkan sains kesihatan bersekutu memastikan ia menawarkan pendidikan berkualiti.

Beliau berkata adalah lebih baik sekiranya pendidikan perubatan tempatan menetapkan penandaaras kualitinya dengan universiti dan kolej perubatan terkemuka di dunia.

"Sebaik sahaja kita mencapai itu, tidak lagi perlu menghantar pelajar kita ke luar negara kerana mereka akan mendapat pendidikan perubatan setara atau lebih baik di dalam negara.

"Adalah menjadi harapan saya bahawa pusat pengajian perubatan kita betul-betul serius dalam menawarkan pendidikan perubatan berkualiti tinggi, bukan hanya untuk pelajar Malaysia tetapi juga pelajar asing untuk mendapatkan pendidikan berkualiti di negara kita," katanya pada majlis pecah tanah kampus baharu Kolej Universiti MAHSA di Bandar Saujana Putra di sini hari ini.

Najib menegaskan pelajar perlu mendapat latihan yang betul dan menurutnya adalah tidak memadai bagi universiti dan kolej hanya mematuhi syarat asas bagi mendapatkan akreditasi.

Sehubungan itu, beliau menggesa universiti dan kolej perubatan memeriksa semula kurikulum mereka secara serius untuk membolehkannya bukan sahaja memberikan pengetahuan perubatan dan kemahiran klinikal tetapi juga kemahiran lain.

Ini termasuk kemahiran psikososial, kemahiran komunikasi, kemahiran interpersonal atau hubungan antara individu dan hubungan dengan orang ramai untuk membantu pelajar perubatan menjadi tabib yang baik dan pakar klinikal yang kompeten.

Beliau berkata lebih sedikit universiti dan kolej perubatan menawarkan pendidikan perubatan berkualiti tinggi merupakan strategi yang lebih baik daripada terlalu banyak institusi yang menawarkan pendidikan kurang berkualiti.

"Kita juga patut mengelak menghantar pelajar kita ke kolej dan universiti perubatan di luar negara yang kualiti pendidikannya dipertikaikan dan telah menimbulkan masalah kepada kita," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata Kementerian Kesihatan sepatutny menjalin kerjasama formal yang tulen dengan universiti dan kolej perubatan swasta untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik kepada orang ramai.

Beliau berkata institusi itu boleh menyediakan pakar kepada hospital kerajaan yang berdepan masalah kekurangan pakar, manakala kementerian boleh membantu menaik taraf kemudahannya khususnya bilik bedah untuk mengurangkan kes menunggu untuk pembedahan kecil dan kecemasan.

"Terdapat banyak pakar sektor swasta yang merupakan pakar klinikal dan pensyarah berpengalaman. Pastinya mereka boleh diambil sebagai jurulatih, sekiranya mereka berminat," katanya.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan Kolej Universiti MAHSA akan dinaik taraf ke status universiti.

Beliau menyerahkan jemputan rasmi kepada Pro-Canselor dan Pengerusi Eksekutifnya Prof Datuk Dr Mohamed Haniffa Abdullah.

Kampus baharu itu, berharga kira-kira RM500 juta akan dibina di kawasan seluas 24.3 hektar, dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.

Kampus itu dengan kapasiti 15,000 pelajar bagi semua fakulti juga dilengkapi kemudahan asrama bagi kira-kira 12,000 pelajar.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment