My Add

Friday 21 September 2012

Pihak guna isu pembersihan daftar pemilih untuk perlekeh SPR dibidas

PUTRAJAYA, JUMAAT, 21 September, 2012: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membidas sikap sesetengah pihak yang menggunakan isu pembersihan Daftar Pemilih sebagai ruang memperlekeh institusi itu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, jika benar ingin membantu, mereka sepatutnya menggunakan saluran yang sah dan betul, bukan dengan menjaja cerita menerusi media massa.
 
"Kalau ada keraguan jumpa SPR, 'we are not perfect, we are not Superman'," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau mengulas isu ramai pengundi menggunakan satu alamat yang dibangkitkan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini yang dikatakan berlaku di Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor.

Saifuddin mendakwa SPR gagal melaksanakan tugasnya membersihkan Daftar Pemilih kerana 13 pengundi di situ menggunakan satu alamat yang didapati PKR adalah pondok khas untuk penduduk kampung meletakkan motosikal mereka.

Menjawab isu terbabit, Abdul Aziz berkata, pondok yang dimaksudkan PKR sebenarnya sebuah kedai kopi yang mempunyai peti surat, dan siasatan SPR mendapati penduduk kampung menggunakan warung itu sebagai alamat bagi memudahkan tugas posmen kerana kawasan di situ berbukit.

"Seramai 18 orang mendaftar sebagai pengundi menggunakan alamat itu tetapi sebenarnya mereka mempunyai rumah masih-masing yang didiami 32 buah keluarga. 

"Keadaan seperti itu bukan hanya berlaku di kawasan berkenaan banyak juga berlaku di tempat-tempat lain terutama di kawasan perkampungan," katanya.

Mengulas hasrat beberapa negeri yang ditadbir pakatan pembangkang mahu mengadakan pilihan raya secara berasingan kerana Daftar Pemilih meragukan, Abdul Aziz berkata, berdasarkan undang-undang mereka boleh berbuat demikian.

Namun katanya, dakwaan bahawa Daftar Pemilih meragukan adalah suatu yang tuduhan yang serius memandangkan SPR memberi ruang dan peluang kepada pemilih untuk melakukan semakan dan bantahan serta pembetulan.

Sejak 2008 hingga suku kedua 2012, SPR membersihkan 480,229 nama daripada Daftar Pemilih dengan jumlah tertinggi dicatat di Perak, Johor, Selangor, Kedah dan Kelantan.

Di Selangor, pembersihan mengikut kategori pemotongan ialah 41,645 (kematian); 704 (bersara tentera); 462 (bersara polis); 587 (hilang layak mengundi); 1,286 (hilang layak pengundi awam); 929 (masuk polis); 690 (masuk tentera); 1,094 (lucut warganegara); 96 (pulang dari luar negara); 211 (pergi ke luar negara); 416 (sabitan mahkamah); sembilan (pendaftaran berganda) dan 370 silap pendataan.

Bagi pendaftaran baharu dan pertukaran alamat bagi tempoh 2008 hingga Daftar Pemilih Suku Tahun kedua 2012 pula Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 615,281 disusuli Johor (449,209), Perak (384,291), Sarawak (275,127) dan Sabah (271,131). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment