My Add

Thursday 6 September 2012

Sikap berdolak-dalik MB Selangor dibidas

KUALA SELANGOR, KHAMIS, 06 September, 2012: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor Datuk Seri Noh Omar membidas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berdolak-dalik dan masih gagal memberi penjelasan berhubung tindakan menjemput Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan malam ambang merdeka peringkat negeri baru-baru ini.

Beliau berkata kenyataan Abdul Khalid bahawa Ketua Pembangkang itu hadir sebagai tetamu jemputan dan bukannya tetamu kehormat jelas menunjukkan Abdul Khalid keliru dan tidak memahami protokol sambutan kemerdekaan serta peranannya dalam kerajaan negeri.

"Kalau dipanggil sebagai tetamu jemputan, kenapa Anwar perlu memberi ceramah pada sambutan ambang kemerdekaan?

"Kedua-dua menteri besar dan Anwar tidak faham peranan mereka pada majlis itu iaitu sama ada sebagai tetamu, penceramah atau perasmi, dan ini menunjukkan kerajaan pakatan pembangkang Selangor ketika ini berada dalam keadaan "caca-marba"," katanya.

Noh bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan alat tulis kepada pelajar di kawasan Parlimen Tanjong Karang yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.

Noh mengulas kenyataan Abdul Khalid semalam bahawa tindakan kerajaan negeri menjemput Anwar menghadiri sambutan malam ambang Kemerdekaan ke-55 baru-baru ini adalah sekadar tetamu jemputan untuk memberi ceramah, dan bukan sebagai tetamu kehormat.

Beliau turut menuntut penjelasan Abdul Khalid sama ada program itu merupakan program rasmi kerajaan negeri atau program politik apabila menjemput Anwar yang tidak memegang apa-apa portfolio rasmi dalam kerajaan negeri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment