My Add

Thursday 6 September 2012

Rayuan penduduk ditolak, perlombongan emas diteruskan

Oleh NORLIZAH ABAS
PUTRAJAYA, KHAMIS, 06 September, 201: Projek perlombongan emas di Kampung Bukit Koman, Raub, Pahang yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengancam kesihatan, diteruskan setelah rayuan akhir penduduk-penduduk di situ ditolak oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Rayuan tiga penduduk iaitu Wong Kin Hoong, Hue Fui How dan Mustapha Hussin yang mendakwa mewakili 3,000 penduduk kampung tersebut, ditolak atas faktor teknikal kerana mereka lewat memfailkan kebenaran bagi permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif yang bersidang bersama Tan Sri Abdull Hamid Embong, Datuk Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datin Paduka Zaleha Zahari.

Sehubungan itu, mereka gagal untuk mengembalikan semakan kehakiman itu ke Mahkamah Tingi dalam usaha terakhir untuk mencabar kesahihan keputusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) meluluskan laporan awal bagi pelaksanaan projek itu.

Projek yang hanya berjarak kira-kira 300 meter dari kediaman penduduk setempat dibantah kerana ia diluluskan oleh Ketua Pengarah JAS berpandukan Laporan Awal Penilaian Kesan Alam Sekitar (PEIA) yang didakwa mereka sebagai tidak lengkap.

Laporan bertarikh 13 Januari 1997 itu disediakan oleh syarikat yang diberi kuasa menjalankan aktiviti perlombongan dan pemisahan emas, Raub Australian Gold Mining Sdn. Bhd. (RAGM).

Projek itu dimulakan pada Februari 2009 manakala permohonan semakan kehakiman difailkan pada Mac 2008.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar mewakili perayu-perayu; Tan Sri Cecil Abraham bagi pihak RAGM manakala Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan mewakili pihak kerajaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment