My Add

Wednesday 5 September 2012

Suaram: Dedahkan transaksi salur dana

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, SELASA, 04 September, 2012: Kaitan antara Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Suara Inisiatif Sdn. Bhd. (Suara Inisiatif) dari segi transaksi dana bagi memburukkan kerajaan adalah sesuatu yang serius serta mengancam keselamatan negara.

Presiden Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali (gambar) juga mendesak pihak berkuasa mendedahkan pihak atau negara yang bertanggungjawab menyalurkan dana tersebut kepada Suaram bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Katanya, pihak berkuasa tidak boleh lagi mengambil pendekatan seperti 'tukul dengan pahat' iaitu hanya bertindak selepas wujud desakan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana Suaram bertanggungjawab memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pengesahan hubungan Suaram dengan Suara Inisiatif dalam menerima dana asing terlalu serius dan ia boleh mengancam keselamatan serta kedaulatan negara merdeka seperti Malaysia. Apalah lagi Suaram menjadi tali barut pihak asing bagi memburukkan kerajaan sendiri.

"Sebab itu Perkasa desak agar pihak berkuasa dedah siapa serta negara mana yang salurkan dana ini dan kita mengutuk keras pihak tersebut. Bank Negara Malaysia dedahkan jumlah sebenar transaksi asing yang diterima Suaram kerana rakyat yang cintakan negara mahu tahu.

"Kementerian Dalam Negeri juga perlu berani dan efisien. Jangan sampai rakyat naik jemu dan bosan dengan siri amaran daripada kementerian ini kerana aktiviti dan status Suaram sudah lama diketahui umum," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui terdapat kaitan antara Suaram dan Suara Inisiatif dari segi transaksi dana khususnya daripada pihak asing selepas beberapa pihak mendedahkan Suaram bukan sebuah NGO.

Menurut beliau, Suara Inisiatif yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 didapati menyalurkan dana kepada Suaram manakala laporan tahunan kewangan pula menunjukkan aktiviti perdagangan syarikat itu hanya 0.06 peratus dan selebihnya adalah sumbangan dana daripada pihak luar.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, Perkasa tidak akan bersikap apologetik berhubung desakan agar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd. Naim Daruwish meletak jawatan selepas didakwa gagal membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas ke atas Suaram.

"Soal Mohd. Naim hendak melenting itu hak dia, kami NGO bersuara dan membuat desakan kerana ia melibatkan kepentingan negara memandangkan sebelum beberapa NGO seperti Perkasa bersuara tiada sebarang tindakan atau kenyataan dibuat Mohd. Naim," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment