My Add

Sunday 23 September 2012

Tajaan haji 1MDB diteruskan
*JAMIL Khir Baharom (dua dari kanan) bertanya khabar kepada bakal haji berkerusi roda, Abdul Ujang dan Che Yah Pilas yang dipilih menunaikan haji secara percuma menerusi program penajaan jemaah haji 1MDB di KLIA, semalam.
Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
SEPANG, SABTU, 22 September, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program penajaan jemaah haji 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) akan diteruskan, malah tidak mustahil digandakan pada masa depan bergantung kepada kemampuan kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, program itu juga akan diperluaskan dengan menaja bilal dan siak serta guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

"Sekiranya ada rezeki, program penajaan ini bukan sahaja akan diteruskan, malah mungkin digandakan jumlahnya.

"Setelah sasaran menghantar para imam dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ini dicapai, tidak mustahil kita akan panjangkan pula kepada kelompok bilal dan siak serta guru-guru KAFA," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelepasan Jemaah Haji 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jemaah haji itu yang terdiri daripada 400 imam dan Pengerusi JKKK seluruh negara berlepas dari KLIA pukul 12.30 tengah hari dan dijangka tiba di Madinah, Arab Saudi pukul 8.30 malam waktu tempatan hari ini.

Menurut Najib, pelaksanaan program itu merupakan tanda terima kasih kerajaan kepada para imam dan Pengerusi JKKK yang sentiasa berbakti dan berjasa kepada masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berharap program tersebut dapat dilaksanakan secara tahunan dengan penglibatan lebih ramai pemimpin masyarakat.

Dalam pada itu, Najib berkata, program tersebut membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan agenda Islam dalam membangun dan memajukan negara.

"Sepanjang tempoh pemilihan calon dijalankan, kita dapati ada dalam kalangan imam dan ketua kampung yang langsung tidak mempunyai akaun Tabung Haji dan ada antaranya jumlah simpanannya hanyalah RM10 sahaja. Malah, ada yang tidak terfikir langsung dapat menunaikan ibadat itu.

"Maka, menjadi tanggungjawab kita merubah keadaan ini kepada suatu keadaan yang lebih baik kerana ia merupakan tuntutan dan ajaran asas dalam Islam," katanya.

Sementara itu, Najib turut berpesan kepada jemaah haji tidak bimbang dengan tarikh pilihan raya umum akan datang dan hanya memfokuskan kepada ibadat haji sepanjang berada di sana.

"Saya mendoakan segalanya dipermudahkan oleh Allah SWT dan kepada jemaah, usahlah bimbang dengan tarikh pilihan raya umum nanti. Beramallah di sana dan berdoalah, jangan difikirkan pasal pilihan raya.

"Apa yang penting dapat melaksanakan segala rukun dan syarat haji serta umrah dengan sempurna. Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadat yang dilakukan dan akhirnya mendapat haji yang mabrur," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan jemaah haji agar sentiasa menjaga imej negara sepanjang mengerjakan ibadat tersebut di tanah suci Mekah.

Katanya, sebagai duta kecil negara, setiap jemaah haji berperanan memelihara imej tersebut supaya Malaysia sentiasa dipandang tinggi.

"Jagalah segala kelakuan dan tutur kata kita sebagai orang Malaysia. Selama ini, adab dan sopan inilah yang menyebabkan kita dihormati dia seluruh dunia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment