My Add

Sunday 9 September 2012

Tolak ideologi politik berpaksi emosi demi perpaduan

KEPALA BATAS, AHAD, 09 September, 2012: Masyarakat Melayu Pulau Pinang digesa supaya tidak terpengaruh dengan ideologi politik yang berpaksikan emosi sehingga mereka hilang keupayaan bersaing dengan kaum lain.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung, Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha, berkata orang Melayu perlu menguasai ilmu pengetahuan, ekonomi dan kedudukan sosial untuk memastikan survival kaum itu dalam masyarakat.

"Jika dilihat dari segi kemandirian orang Melayu itu sendiri, perpaduan memainkan asas utama yang akan dapat memastikan orang Melayu terus menikmati keistimewaan yang diberikan.

"Bagaimanapun, masih terdapat kekurangan kepada orang Melayu. Kalau kita lihat dari segi perumahan, ekonomi dan pelajaran contohnya walaupun terdapat peningkatan dari tahun ke tahun tetapi kalau dibandingkan dengan kaum lain di Malaysia rasanya kita masih ketinggalan dalam mencapai kemajuan," katanya pada Forum Nusantara Siri 6 bertajuk '55 Tahun Kemerdekaan: Ke Arah Mana Melayu Pulau Pinang' di sini, malam tadi.

Forum itu turut membariskan Ahli Parlimen Parit Buntar dari PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Senator Dewan Negara Prof Madya Ariffin Omar, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Setia dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai panel jemputan.

Raja Munir Shah yang juga Pengarah Eksekutif MYEG Services Bhd berkata, disebabkan banyak kawasan di Pulau Pinang mengalami pertumbuhan yang cukup pesat, kenaikan harga hartanah dan sebagainya, ramai masyarakat Melayu dilihat mula berhijrah ke tempat lain.

"Jika kita lihat dari segi sejarah Melayu di Pulau Pinang, memang itu satu zaman kegemilangan orang Melayu. Malangnya kalau dilihat dari segi percambahan ekonomi orang Melayu dan lainnya di Pulau Pinang, bandar George Town sangat kekurangan orang Melayu walaupun terdapat kelompok kaum itu di kawasan tertentu," katanya.
 
Sementara itu, Mujahid berkata, kenyataan yang mengatakan masyarakat Melayu adalah kaum minoriti di negeri ini adalah tidak benar kerana berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan, Pulau Pinang mempunyai 1.6 juta penduduk dengan 42.6 peratus daripadanya adalah Melayu diikuti kaum Cina 40.93 peratus dan selebihnya adalah kaum India serta lain-lain.

“Justeru, orang Melayu tidak wajar menjadikan isu berkenaan sebagai alasan untuk mundur dan tercicir dari arus kemodenan,” katanya.

Mujahid turut menyarankan orang Melayu di negeri ini supaya tidak terlalu bergantung kepada sesuatu entiti bagi membela nasib mereka dan untuk berjaya, kaum itu harus melakukan penghijrahan minda dengan menjadikan agama Islam sebagai teras utama.

Bagi Nik Nazmi pula, persaingan politik yang sedang rancak berlaku kini tidak menunjukkan negara berada dalam keadaan huru-hara sebaliknya ia disifatkan sebagai "perkembangan wacana" yang hidup dan sedang berkembang dalam kalangan masyarakat.

"Bagi saya dengan adanya persaingan politik yang lebih hidup, akan wujud satu sistem timbal balik atau 'check and balance'," katanya.

Forum anjuran Penang Institute itu dikendalikan oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

Forum berkenaan adalah satu siri forum awam yang mengetengahkan pandangan cendekiawan, sasterawan, budayawan dan institusi keilmuan yang ada kaitan dengan Pulau Pinang dan hubungannya dengan kebudayaan nusantara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment