My Add

Friday 7 September 2012

Tujuh lagi diburu polis


Oleh WAN NOOR HAYATI 
WAN ALIAS & ROZIANAH RISMAN
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 06 September, 2012: Polis memburu tujuh lagi peserta Perhimpunan Janji Bersih dan mengarahkan mereka untuk menyerah diri bagi membantu siasatan berhubung insiden menghina pemimpin dan Jalur Gemilang pada 30 Ogos lalu.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh (gambar), kesemua individu tersebut sudah dikenal pasti dan jika mereka gagal hadir ke balai polis untuk menyerah diri, mereka akan diburu.

"Setakat malam tadi, empat peserta perhimpunan itu sudah dirakam percakapan dan dibebaskan dengan ikat jamin.

"Ini termasuk seorang wanita berusia 21 tahun yang telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur," katanya ketika menghadiri majlis Jamuan Hari Raya Polis Kuala Lumpur yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di sini hari ini.

Kesemua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan serta Seksyen 290 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan.

Mereka yang ditahan dan diburu itu berikutan tindakan sekumpulan individu yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta membawa bendera baru bagi menggantikan Jalur Gemilang.

Dalam pada itu, Mohmad menafikan bertindak secara berat sebelah dan lepas tangan terhadap mereka yang memijak gambar pemimpin negara, sebaliknya tiada tindakan diambil dalam insiden sama apabila gambar pemimpin pembangkang dipijak sebelum ini.

"Tindakan tetap akan diambil terhadap mana-mana pihak sekiranya ada laporan polis dibuat. Bagi kes membabitkan pemimpin pembangkang, tiada rekod menunjukkan laporan polis dibuat.

"Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan dan Seksyen 504 kanun yang sama atas kesalahan mendatangkan aib melalui syarat atau benda terhadap individu," katanya.

Jelas Mohmad, pada malam kejadian, tugas polis lebih tertumpu kepada pemantauan dan tindakan tidak diambil kerana tertakluk kepada Akta Perhimpunan 2012.

"Namun apabila aksi mereka disiarkan di laman Youtube dan ada laporan dibuat, baru polis ambil tindakan menahan serta mengesan individu terbabit," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Akta Hasutan 1948 yang diguna pakai bagi menyiasat individu yang memperkenalkan dan mengibarkan bendera 'Sang Saka Malaya' semasa perhimpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka baru-baru ini, masih relevan.

Mohmad berkata, polis masih mempunyai hak terhadap akta tersebut untuk menguatkuasakan undang-undang negara.

"Akta itu masih boleh digunakan. Setakat ini, Akta Hasutan belum lagi dihapuskan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria berkata, polis akan mengambil keterangan dua individu, Hishamuddin Rais dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dalam masa terdekat.

"Kita akan mengenal pasti beberapa individu lain untuk beri keterangan bagi membantu siasatan," katanya.

Mengulas tindakan seorang peserta perhimpunan yang memohon maaf berhubung kejadian pada malam 30 Ogos lalu, beliau berkata, perbuatan peserta terbabit telah menimbulkan kemarahan rakyat dan salah daripada segi undang-undang.

"Kesalahan telah dilakukan dan perbuatannya itu telah menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puasa hati dalam kalangan rakyat. Justeru, walaupun sudah memohon maaf, tetapi tindakan undang-undang masih akan dikenakan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment