My Add

Saturday 8 September 2012

Universiti dinaungi raja-raja di Cyberjaya



*SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima replika cek daripada Ahmad Sarji Abdul Hamid pada Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Kepada Tabung Wakaf Majlis Universiti Islam Malaysia di Istana Kayangan, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM, JUMAAT, 07 September, 2012: Universiti Islam Malaysia yang dinaungi oleh Majlis Raja-Raja Melayu bakal dibuka di Cyberjaya pada tahun hadapan.

Pengerusi Majlis Universiti Islam Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, dengan pembukaan universiti itu nanti, ia bakal menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama di negara ini yang dinaungi oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, universiti berkenaan adalah kesinambungan daripada Kolej Islam Malaya yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu pada 1955 dan pentadbirannya ketika itu diurus dengan menggunakan sumber wakaf dan sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan.

"Kolej Islam Malaya yang dihentikan operasinya pada 1970 atas sebab-sebab tertentu akan diaktifkan semula dan kali ini ia akan dinaik taraf serta dikenali sebagai Universiti Islam Malaysia.

"Pengiktirafannya juga telah dibawa serta diluluskan oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kini menunggu perakuan serta pertimbangan terakhir oleh Kabinet," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerimaan dan Penyerahan Dana Wakaf Majlis Universiti Islam Malaysia di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Terdahulu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima sumbangan dana wakaf Universiti Islam Malaysia daripada beberapa syarikat korporat, pertubuhan bekas pelajar serta individu.

Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjadi penyumbang terbesar dengan sumbangan sebanyak RM5 juta diikuti oleh syarikat Shahpadu Corp. Sdn. Bhd. yang menyumbang sebanyak RM100,000.

Tokoh agama, Datuk Dr. Harun Din yang mewakili bekas Pelajar Kolej Islam Malaya turut memberi sumbangan sebanyak RM30,675 manakala waris serta warga komuniti Petaling Jaya menyumbangkan sebanyak RM17,000.

Persatuan Alumni Kolej Islam (Alkis) pula menyumbang sebanyak RM11,000 manakala Persatuan Bekas Pelajar Kolej Islam Malaya (PBPKIM) serta bekas Ketua Pelajar Kolej Islam Malaya, Puzi Dahman masing-masing menghulurkan sumbangan sebanyak RM10,000.

Mengulas lanjut mengenai universiti itu, Mohd. Yusof berkata, pihaknya kini dalam proses pengambilan tanah bagi membina sebuah kampus di Cyberjaya.

Tambahnya, sementara menunggu ia siap dibina, pihaknya akan menyewa premis di Cyberjaya iaitu lokasi yang berdekatan dengan tapak kampus itu nanti.

"Kampus berkenaan akan dibina dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM300 juta dan pembinaan akan bermula sebaik sahaja proses ambil alih tanah selesai," jelasnya.

Mohd. Yusof berkata, universiti berkenaan hanya akan menawarkan kursus peringkat Ijazah Sarjana serta Ijazah Doktor Falsafah dan bakal mengambil kira-kira 1,000 pelajar sahaja.

Katanya, ia akan menawarkan pelbagai bidang kursus seperti Sains, Perundangan dan Sains Sosial yang berteraskan Islam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment