My Add

Friday, 29 November 2013

3 pembuli mengaku salah

Oleh ANI AWANG
 
 
* SALAH seorang pelajar yang didapati bersalah membuli pelajar lain hadir di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
BUKIT MERTAJAM, KHAMIS, 28 November, 2013: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan tiga pelajar berusia 15 tahun ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti, Teluk Air Tawar dekat sini selama tiga tahun atas kesalahan membuli seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Seberang Jaya pada Mac lalu.

Majistret Nurzafirah Mohamed Ali memutuskan demikian setelah ketiga-tiga pelajar terbabit hari ini mengekalkan pengakuan bersalah mereka yang dibuat pada 25 Oktober lalu.

Perintah tersebut berkuat kuasa hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka dituduh membuli seorang pelajar dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di sebuah sekolah menengah di Seberang Jaya di sini pada pukul 2.25 petang, 4 Mac lalu.

Ketiga-tiga mereka dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Dalam prosiding yang dibuat di kamar majistret itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliza Md. Zain manakala tertuduh-tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Pada 11 April lalu, polis menahan tiga pelajar sekolah menengah terbabit di rumah masing-masing bagi membantu siasatan berhubung kes pukul seorang pelajar di sekolah yang sama.

Penahanan itu dibuat selepas polis menerima satu laporan oleh seorang individu setelah tersebarnya satu klip rakaman video mengenai kejadian tersebut di laman sosial YouTube.

Rakaman video menggunakan telefon bimbit selama 1 minit 32 saat itu memaparkan seorang remaja berpakaian seragam sekolah dibelasah sekumpulan remaja lain dipercayai rakan sekolahnya di dalam sebuah bilik.

Mangsa dilihat tidak melawan walaupun dia diserang secara bertubi-tubi oleh seorang remaja yang memakai kemeja-T berwarna kelabu.

Turut kelihatan dalam klip video itu ialah dua lagi remaja lain yang turut sama membelasah mangsa tanpa rasa belas kasihan dan menggunakan objek keras.

Pergaduhan itu dipercayai turut disaksikan oleh lebih daripada lima orang dan kebanyakan mereka hanya mentertawakan mangsa dan tidak membantu meleraikan pergaduhan tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment