Kemuka laporan tidak lengkap taktik DAP tarik simpati rakyat
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 29 November, 2013: DAP dilihat mahu meraih simpati rakyat dengan sengaja mengemukakan laporan tidak lengkap berhubung pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, A. David Dass mendakwa, parti itu sengaja menunggu desakan daripada ROS dan akhirnya mengemukakan laporan yang tidak lengkap kerana mahu mengaburi mata rakyat.
"Ini taktik mereka. Mereka mahu rakyat melihat bahawa mereka sudah memberi kerjasama tetapi ROS masih mengganggu mereka. Itulah objektif mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan bekas Pengerusi Cawangan DAP Sungai Pelek, Tan Tuan Tat bahawa parti tersebut sengaja mengemukakan laporan tidak lengkap tentang pemilihan semula CEC pada 29 September lalu agar ROS mengambil tindakan.
Tuan Tat mendakwa, laporan yang tidak lengkap itu dipercayai bagi membiarkan ROS bertindak dan mungkin terpaksa membatalkan CEC yang dibuat sekali lagi tersebut.
Menurut David, ROS seharusnya mengeluarkan kenyataan jelas berhubung laporan yang telah dikemukakan oleh DAP sebelum ini agar rakyat dapat menilai apa sebenarnya permainan cuba dilakukan parti itu.
"ROS wajar mengeluarkan kenyataan paling jelas di mana rakyat dapat faham apa laporan yang telah DAP kemukakan sebelum ini. Benarkah laporan itu tidak lengkap dan apa tindakan yang ROS akan buat berdasarkan laporan dihantar," katanya.
Katanya, apa yang penting rakyat harus melihat bukti jelas selain dapat menghapuskan persepsi negatif bahawa ROS bertindak atas arahan kerajaan dan sebagainya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment