My Add

Thursday 28 November 2013

Comango: 12 ADUN BN kesal Speaker tolak usul

SHAH ALAM, RAB U, 27 November, 2013: Kesemua 12 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Selangor melahirkan rasa kesal mereka terhadap keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Hannah Yeoh menolak usul bantahan terhadap laporan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).

Ketua Pembangkang negeri, Datuk Mohd. Shamsudin Lias berkata, usul itu ditolak daripada dibahaskan dalam sidang DUN Selangor atas alasan bukan satu perkara yang perlu disegerakan.

Katanya, alasan tersebut tidak wajar kerana usul itu berkait rapat dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan serta enakmen pentadbiran Islam dan syariah di negeri ini.

Malah, katanya, usul bantahan itu perlu dibawa ke dalam DUN memandangkan tuntutan yang dikemukakan Comango dilihat boleh memberikan kesan kepada keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Seramai 12 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) BN Selangor mengemukakan usul menangguh mesyuarat di bawah Peraturan 17 iaitu perkara tertentu berkepentingan orang ramai yang berkehendakkan disegerakan.

"Bagi kami, usul ini bertepatan dengan kehendak di bawah peraturan 17 DUN, kerana membabitkan kepentingan rakyat yang mana ia perlu dibincang serta dibahaskan dalam dewan," katanya kepada pemberita di lobi DUN di sini hari ini.

Tambah Mohd. Shamsudin, Comango antara lain menuntut murtad sebagai kebebasan beragama dengan menafikan bidang kuasa Mahkamah Syariah, menghapuskan undang-undang jenayah syariah dan mengiktiraf pengamal lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menurutnya, tuntutan tersebut dilihat sebagai satu isu yang mencabar kedudukan Islam dan akidah umat.

Comango dilaporkan mencetus kemarahan umat Islam di negara ini apabila membuat tuntutan keterlaluan dalam semakan berkala sejagat (UPR) di Geneva.

Berdasarkan tuntutan itu, Comango dilaporkan menuntut Malaysia memeterai International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR) agar Perkara 18 berhubung hak kebebasan beragama yang implikasinya mengizinkan orang Melayu-Islam murtad berlaku secara tanpa kawalan oleh pihak berkuasa agama negeri di Malaysia.

Selain itu, Comango turut menuntut Malaysia supaya mengiktiraf hak-hak LGBT termasuklah mempertikaikan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak- hak istimewa orang Melayu dan bumiputera sebagai perkauman.

Malah, gabungan NGO itu dikatakan turut mewujudkan kekeliruan terhadap isu kebebasan beragama di negara ini dengan tuntutan pengunaan kalimah Allah oleh bukan Islam serta mempersoalkan larangan terhadap penganut ajaran Syiah menyebarkan fahaman mereka. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment