My Add

Saturday 30 November 2013

Kerajaan didesak kaji semula hubungan dengan Myanmar

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 29 November, 2013: Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia Menentang Estremis Aama di Myanmar (Gabungan NGO) hari ini mendesak kerajaan Malaysia mengkaji semula hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Myanmar.

Koordinatornya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, Malaysia harus menyatakan pendirian tegas ekoran Myanmar dilihat langsung tidak mengendahkan deklarasi dan semangat ASEAN menentang ekstremis agama di negara itu.

"Terbaru, agama Islam dihina oleh sami Buddha di mana mereka mengadakan protes jalanan pada 15 November lalu ketika kehadiran wakil Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke negara itu untuk meninjau keadaan rakyat beragama Islam di sana.

"Malah, lebih memburukkan keadaan, salah satu kain pemidang semasa protes itu turut menyatakan Oppose Islam, the animal-like religion which has high reproductive rate (Tentang Islam, agama menyerupai binatang yang mempunyai kadar kelahiran yang tinggi), sehingga tahap ini, namun Myanmar masih berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa," dakwanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai penyerahan memorandum daripada Gabungan NGO kepada Kedutaan Myanmar di Jalan Ampang Hilir di sini yang turut dihadiri Ketua Pemuda Pas pusat, Suhaizan Kayat.

Memorandum daripada Gabungan NGO itu bagaimanapun tidak dapat diserahkan kepada mana-mana wakil Kedutaan Myanmar dan hanya dimasukkan ke dalam peti surat kedutaan itu sahaja.

Mohd. Azmi yang juga merupakan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) turut bertegas dengan mengatakan sami-sami Buddha itu telah melakukan satu jenayah yang dahsyat kerana menghina sebuah agama utama dunia.

"Kami dengan ini memprotes tindakan berkenaan. Kami mahu persatuan sami-sami Buddha berkenaan meminta maaf kepada umat Islam seluruh dunia. Jika tidak mahu wakil OIC berada di Myanmar, kami boleh terima, tapi bukan sehingga tahap menghina agama Islam," katanya.

Gabungan NGO itu turuut mendesak ASEAN mengkaji semula keanggotaan Mynamar dalam pertubuhan rantau Asia Tenggara itu serta menggesa Malaysia menarik diri daripada menyertai Sukan SEA ke-27 yang akan berlangsung di negara itu bulan depan. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment