Mohamed Nazri, Irmohizam Ibrahim |
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 November, 2013: Kementerian Pelancongan sedia mempertimbangkan cadangan untuk menaik taraf pemandu teksi di ibu negara sebagai pemandu pelancong yang diiktiraf melalui kursus intensif kepada golongan itu bagi meningkatkan imej negara di mata pelancong asing.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, langkah itu dilihat mampu membantu kerajaan mengatasi masalah yang sering timbul ekoran persepsi negatif terutama di peringkat antarabangsa terhadap pemandu teksi di negara ini.
Mungkin kita boleh buat kepada mereka yang minat, kursus intensif dan keluarkan kad yang menunjukkan pemandu teksi ini adalah pemandu pelancong terlatih dan diiktiraf.
Kementerian akan pertimbangkan cadangan itu," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) pada sesi perbahasan membangkitkan isu pemandu teksi yang dilihat tidak profesional terutama ketika melayan pelancong asing.
Saya lihat pelbagai aduan negatif mengenai pemandu teksi mencalar imej negara kepada pelancong. Saya juga terbaca di laman web www.londoncab.co.uk yang menyenarai Malaysia di tempat pertama dengan pemandu teksi bersikap buruk.
Jadi saya syorkan supaya kementerian bekerjasama dengan pihak bertanggungjawab dan merangka program khusus untuk mengatasi masalah ini," katanya.
Mengulas lanjut isu itu, Mohamed Nazri berkata, kerajaan sebelum ini telah melancarkan program Duta Teksi di sekitar Lembah Klang dengan kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Mac 2012 bagi menangani isu aduan negatif terhadap pemandu teksi.
Hasil program itu, sebanyak 4,000 pemandu teksi sekitar Lembah Klang dilatih mengenai aspek layanan baik kepada pelancong, produk, peraturan yang perlu dipatuhi, pemanduan berhemat dan sebanyak 40 siri kursus telah diadakan kepada mereka," katanya.
Beliau berkata, program sedemikian akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pemandu teksi di seluruh ibu negara dapat dilatih secara profesional.
Menjawab soalan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) yang bertanya mengenai pelancongan pelayaran (cruise), Mohamed Nazri berkata, beliau akan mengadakan lawatan ke Singapura tahun depan bagi berbincang kerjasama dalam aspek pelancongan pelayaran melalui pelabuhan-pelabuhan di negara itu.
Katanya, Malaysia melihat lebih banyak manfaat sekiranya kedua-dua negara bekerjasama dalam aspek pelancongan pelayaran selain membangunkan pelabuhan di Pulau Pinang untuk tujuan itu.
Saya kira apa yang harus dilakukan selepas ini adalah menaik taraf pelabuhan di Pulau Pinang dan beri kerjasama erat dengan pelabuhan lain contohnya di Singapura. Tak perlu lawan Singapura sebab memang negara itu ada pelabuhan terkenal. Lebih baik bekerjasama dengan mereka," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment