My Add

Thursday 28 November 2013

Guna langkah glokal hadapi tuntutan Comango

KUALA LUMPUR, RABU, 27 November, 2013: Kerajaan perlu mengambil langkah glokal bagi menghadapi setiap tuntutan oleh Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, sebagai ahli akademik, beliau percaya prinsip glokal ini mampu menyelesaikan isu Comango serta idealisme daripada terus menjadi polemik.

Menurutnya, prinsip glokal ini membawa maksud Malaysia mengambil idealisme antarabangsa dan kemudiannya didefinisikan semula dengan mengambil nilai-nilai tempatan.

"Hak asasi manusia kalau kita pinggirkan, maka kita akan dipinggirkan masyarakat antarabangsa, sekali gus tidak boleh mencapai negara maju.

"Namun, penting kita memikirkan aspek penyatuan ummah dan perpaduan bangsa agar tidak mengikut telunjuk pihak Barat hingga masyarakat negara ini tidak mempunyai identiti," katanya dalam sidang akhbar selepas berucap dalam seminar Hak Asasi Manusia dan Islam di Malaysia: Teori, Hakikat Semasa dan Hala Tuju Masa Depan, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Suhakam, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Mahmood Zuhdi berkata, pertubuhan Islam dan Comango dilihat perlu duduk semeja serta mengambi idea glokal bagi menyelesaikan isu ini demi kepentingan masyarakat setempat.

"Mereka yang berkepentingan perlu duduk semeja dan berbincang tentang isu hak asasi ini kerana saya percaya golongan ini akan bersetuju bahawa kebebasan yang diperoleh tanpa batas akan membawa kehancuran kepada negara dan bangsa kita.

"Mereka mesti menentukan sejauh mana batas itu, tetapi apa yang jelas sekarang, batas itu adalah Perlembagaan Persekutuan kerana itu adalah asas pembentukan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Nik Mustapha berkata, Perlembagaan Persekutuan pastinya akan menjadi latar belakang dalam setiap langkah glokal yang digunakan bagi menyelesaikan tuntutan Comango ini.

"Kita tidak boleh lari daripada Perlembagaan Persekutuan, jadi apabila ada pihak cuba menuntut sesuatu, mereka mestilah faham dan menghormati latar belakang negara ini.

"Sama halnya orang Islam menghormati agama Hindu sebagai agama rasmi di India serta agama Buddha di Thailand. Jadi kita harap orang lain menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan negara ini. Justeru, mengapa hendak dicabar, kebebasan apa yang mereka inginkan?" katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment