Batu Putih: Siasat punca kekalahan
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 29 November, 2013: Kerajaan dicadang supaya menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kekalahan Malaysia kepada Singapura dalam tuntutan Pulau Batu Putih pada 2007.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, selain itu kerajaan perlu membuat rayuan semula dengan kadar segera di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kekalahan ini.
"Bekas Pengarah Siasatan Jenayah, Datuk Mat Zain Ibrahim juga perlu membuat laporan polis berhubung akuan bersumpah yang menyebabkan Malaysia kalah dalam kes Pulau Batu Putih.
"Jika beliau sedia untuk membuat akuan bersumpah, apa susah sangat untuknya membuat laporan polis? Apa yang didedah ini amat serius malah melibatkan kepentingan dan maruah negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Ibrahim, Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mengatakan pihak polis tidak boleh menyiasat kecuali Mat Zain membuat laporan.
Bagaimanapun, Mat Zain berkata, polis boleh menjalankan siasatan berdasarkan akuan bersumpahnya.
"Akuan bersumpahnya juga satu tuduhan yang membabitkan integriti Peguam Negara. Sama ada betul atau tidak tuduhan itu, tiada siapa yang dapat mengesahkannya.
"Maka cara terbaik adalah dengan Mat Zain memberikan jawapan dengan membuat laporan polis," kata Ibrahim. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment