Polis masih buru 10 lagi individu bantu siasatan kes bunuh pegawai JAIP - KPN
KOTA KINABALU, SABTU, 30 November, 2013: Polis masih memburu 10 individu lagi bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis percaya siasatan ke atas kes tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya dengan penangkapan 10 pengikut ajaran sesat Tuhan Harun yang disyaki terlibat dengan pembunuhan pegawai JAIP itu.
"Biarpun kita telah cakap semalam siasatan dah selesai dengan penangkapan 13 orang termasuk dua wanita, kita percaya siasatan akan selesai terus dengan penangkapan 10 yang dikehendaki ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam di sini hari ini.
Seminar itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Menurut Khalid, 10 individu berkenaan ialah Mohd Shahril Mohd Jaafar, 28 yang beralamat terakhir di Kedah, Mohamed Faizal Abdullah, 46, (Johor), Mohd Rozi Akasah, 38, (Melaka), Khairul Amir Akasah, 34, (Negeri Sembilan) dan Mansur Hussin, 39, (Kelantan).
Individu lain, tambahnya, Shamsinar Abdul Halim, 36, (Johor), Shaizral Eddie Nizam Shaari, 37, (Melaka), Jefferi Safari, 36, (Johor), Wan Mohd Shakri Wan Isa @Wan Ismail, 27, (Kelantan) dan Shamsul Amri Abu Hassan, 44, (Pahang). - BERNAMA
No comments:
Post a Comment