My Add

Thursday, 28 November 2013

Perhubungan UMNO Kelantan disusun semula

KOTA BHARU, RABU, 27 November, 2013: Kepemimpinan Badan Perhubungan UMNO Kelantan disusun semula dalam usaha mengukuhkan gerak kerja parti untuk mendekati rakyat selain mengembalikan sokongan mereka kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Rombakan itu menyaksikan Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menggantikan Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang kini Bendahari.

Bekas Bendahari yang juga Ketua UMNO Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat pula mengisi jawatan Setiausaha UMNO negeri menggantikan Noor Zahidi.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Md. Alwi Che Ahmad dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO negeri menggantikan Datuk Dali Husin.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penyusunan semula itu diharap dapat mengukuhkan parti dalam mendepani cabaran menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, usaha itu juga sebahagian daripada proses transformasi yang dilakukan oleh parti untuk terus mendekati rakyat Kelantan khususnya golongan muda.

"Kita akan memberi tumpuan kepada generasi muda melalui pelbagai pendekatan dan program yang akan dilaksanakan selepas ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mustapa berkata, UMNO Kelantan akan terus menggerakkan usaha untuk mendampingi rakyat di semua lapisan termasuk golongan agama.

Beliau turut berharap pemimpin UMNO di peringkat bahagian terus menggerakkan program bagi mendekati masyarakat di semua peringkat khususnya golongan muda dan golongan agama supaya mereka mendapat mesej yang lebih jelas berkenaan perjuangan parti dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

"Gerak kerja harus dimulakan dari sekarang agar rakyat mendapat maklumat yang jelas mengenai perjuangan parti dan menangkis segala fitnah dilemparkan oleh pembangkang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment