Malaysia mampu bertindak
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
MUHYIDDIN Yassin diiringi Hishammuddin Tun Hussein ketika tiba untuk merasmikan persidangan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Zulkifeli Mohd. Zin (kanan). - BERNAMA |
Menurut beliau, pasukan keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) memiliki keupayaan dalam menangani sebarang ancaman musuh dan akan terus diperkasa untuk menjadi benteng pertahanan negara pada sepanjang masa.
"Ini satu hakikat bahawa kita tidak pernah dikenali sebagai penyerang dan sering memilih proses diplomasi termasuk ketika berdepan dengan pihak yang menyerang. Namun, apabila saluran itu habis dan jika kehidupan rakyat terancam, kami berupaya untuk bertindak balas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) yang bertemakan 'Ketahanan Nasional ke arah Negara Maju' di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima ATM, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.
Dalam pada itu, Muhyiddin menambah, walaupun diakui memiliki kekuatan tersendiri, pasukan keselamatan Malaysia perlu sentiasa dipastikan memiliki daya tahan untuk terlibat dalam pelbagai operasi ketenteraan, baik dalam negara mahupun luar negara apabila keadaan memerlukan.
Jelasnya, insiden berdarah di Lahad Datu dan Semporna, Sabah sememangnya telah menjadi iktibar penting kepada semua pihak, khususnya pasukan keselamatan negara untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan agar kejadian serupa tidak berulang lagi pada masa hadapan.
"Jika kita dilengkapi dengan segala peralatan ketenteraan yang canggih sekalipun, itu tidak memadai jika seseorang anggota keselamatan itu tidak mempunyai daya tahan mental serta kemahiran peperangan yang diperlukan pasukan bersenjata," ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment