My Add

Thursday, 28 November 2013

Pembangunan industri kreatif

Oleh Metra Syahril Mohamed

KUALA LUMPUR, RABU, 27 November, 2013: Kerajaan komited untuk terus memberi penekanan kepada pembangunan industri kreatif yang dijangka mencapai sasaran pendapatan RM16.1 bilion menjelang akhir tahun ini.

Perkara tersebut dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melihat sumbangan industri itu di peringkat tempatan berada di landasan kukuh apabila mencatat pendapatan RM7 bilion tahun lalu.

Jelasnya, daripada jumlah itu industri berkenaan menyumbang sebanyak RM1.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

''Dunia seni kreatif dan teknologi saling memerlukan dan gabungan kedua-duanya mampu menjana serta membangunkan negara. Kandungan kreatif yang digerakkan oleh daya pemikir diperlukan bagi menggerakkan industri tersebut.

''Malah, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 juga menjurus ke arah melahirkan insan yang lebih kreatif dan berinovasi,'' katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, selain industri kreatif, kerajaan memberi jaminan untuk terus memartabatkan bidang penulisan khususnya berkaitan bahasa serta persuratan Melayu.

Usaha itu tegasnya, 'termaktub' di dalam PPPM dengan salah satu usaha yang akan terus digiatkan adalah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

''Oleh itu, saya menyarankan agar ahli akademik menghasilkan lebih banyak karya dalam bahasa Melayu dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) perlu bergerak lebih tangkas untuk menterjemah lebih banyak hasil kajian antarabangsa.

''Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Program Penerbitan Berpakej yang merentas 300 bidang ilmu dan sastera diharap menjadi pemangkin transformasi ilmu dalam bahasa Melayu. Selain itu, kepada penerbit universiti, tingkatkan peranan untuk memperbanyak terbitan ilmu dalam bahasa tersebut,'' katanya.

Beliau turut menyarankan DBP melalui Akademi DBP supaya melaksanakan Program Penulisan Sastera Melayu di samping kursus bahasa dan penulisan dokumen rasmi.

''Program ini merupakan latihan untuk penulis meningkatkan tahap keupayaan kreatif mereka. Penyertaan hendaklah dibuka kepada penulis dalam dan luar negara dan dengan itu kita dapat memperkenalkan bahasa, sastera serta budaya Melayu.

''Lanjutan itu, saya berharap agar Malaysia menjadi pusat untuk program penulisan seperti Program Penulisan Antarabangsa (IWP) di Iowa, Amerika Syarikat,'' ujarnya.

Selain itu, katanya, DBP perlu mengendalikan Ujian Kecekapan Bahasa Melayu (UKBM) serta mengeluarkan sijil perakuan kepada mereka yang berminat mempelajari bahasa Melayu terutama dari luar negara.

Ujian terbabit jelasnya, dapat membantu peserta meningkatkan penguasaan bahasa Melayu selain mengembangkan bahasa itu ke peringkat antarabangsa.

''Jika ini berlaku, masyarakat antarabangsa akan merasakan penguasaan bahasa Melayu adalah sesuatu yang penting terutama apabila berurusan dengan negara yang rakyatnya bertutur dalam bahasa Melayu,'' katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment