My Add

Thursday, 28 November 2013

Muhyiddin beri suntikan semangat kepada pasukan lumba IKBN Pagoh

PAGOH, RABU, 27 November, 2013: Pasukan lumba Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh mendapat suntikan semangat daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha mempertahankan kejuaraan sempena Perlumbaan Inovasi Pendidikan Sukan Motor dan Automotif (EIMARace) 2013, Ahad ini.

Timbalan Perdana Menteri yang tiba dengan helikopter di padang institut berkenaan untuk menghadiri beberapa program di sini meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk melihat secara dekat dua buah kereta lumba yang akan digunakan pasukan tersebut.

Selain beramah mesra dengan krew pasukan berkenaan, Muhyiddin turut menurunkan tandatangan di kereta lumba tersebut.

Sementara itu, Ketua Pasukan IKBN, Mohd. Ghazali Mohd. Daud berkata, pasukannya akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan kejuaraan tersebut dalam perlumbaan tahun ini.

"Tahun lalu, kita mempertaruhkan sebuah kereta dan menjuarai pertandingan itu walaupun pertama kali menyertainya. Kali ini kita bawa dua buah kereta.

"Kehadiran Timbalan Perdana Menteri memberi suntikan semangat kepada 10 pelatih dan lima pensyarah yang terlibat untuk mempertahankan kejuaraan dalam perlumbaan tahun ini," katanya ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, kereta lumba yang dihasilkan menggunakan enjin Honda Wave 125cc itu mampu memecut selaju 130 kilometer sejam.

EIMARace adalah pertandingan reka bentuk dan perlumbaan kenderaan membabitkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang dianjurkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Litar Bukit Sagor, Perak, Ahad ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment