My Add

Saturday 30 November 2013

Daya tahan negara diperkukuh - Hishammuddin

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 November, 2013: Kerajaan akan terus meningkatkan daya tahan negara, khususnya dalam usaha memperkasa dan memperkukuhkan kedaulatan Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus dipertingkatkan dalam memastikan kedaulatan serta keselamatan negara terus terpelihara, khususnya selepas kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sebelum ini.

Jelasnya, walaupun kedudukan negara sekarang aman, namun kerajaan sentiasa perlu melihat bagaimana untuk mengatasi pelbagai ancaman yang sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan semasa.

"Pembelian aset-aset dan menaik taraf peralatan ketenteraan cuma akan dibuat membabitkan keadaan mendesak seperti di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

"Bagaimanapun, kita perlu menerima hakikat bahawa pembelian itu juga tertakluk kepada kemampuan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas penutupan Persidangan Kedua Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) yang sebelum itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin juga memuji usaha MIDAS menganjurkan persidangan yang membabitkan pelbagai organisasi bagi membincangkan isu-isu berkaitan daya tahan negara.

"Saya juga berpendapat mungkin persidangan membincangkan isu daya tahan ini juga boleh diperkembangkan bukan sahaja di peringkat dalam negeri tetapi di peringkat ASEAN.

"Dengan kedudukan ASEAN yang strategik, daya tahan rantau ini juga perlu dipertingkatkan secara bersama-sama dengan negara- negara anggota lain," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment