My Add

Thursday 28 November 2013

Tempoh reman 'Tuhan Harun' disambung

KUANTAN, RABU, 27 November, 2013:Tempoh tahanan reman ketua kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun', Harun Mat Saat, 47, yang ditahan di Tangkak, Johor, pada 20 November lalu disambung selama seminggu lagi bermula hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, turut disambung reman ialah isteri ketiga Harun, Nor Azida Mohd. Zol, 30, serta pemandunya, Nor Hairi Harun, 41, yang juga ditahan pada hari yang sama.

Beliau berkata, mereka kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik.

"Mereka yang sebelum ini direman tujuh hari sejak 21 November lalu disambung reman sehingga 4 Disember ini bagi membantu siasatan," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 1.55 petang, 10 November lalu, Ahmad Raffli maut ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2 di sini.

Ekoran kejadian itu, polis pada 15 November lalu telah mengedarkan 27 keping gambar ketua dan pengikut ajaran sesat Tuhan Harun yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.

Pada 21 November lalu, Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah memerintahkan ketiga-tiga mereka direman selama seminggu bagi membantu siasatan kes itu.

Harun bagaimanapun dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini akibat serangan strok beberapa jam selepas perintah reman dikeluarkan.

Bagaimanapun dia dilaporkan telah keluar wad kira-kira pukul 1 petang semalam dan ditempatkan di lokap IPD Kuantan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment