* ANTARA aktiviti Program Langkawi International Extreme Challenge yang diadakan pada tahun lepas. - Gambar/Ihsan Penganjur |
Kejohanan anjuran bersama Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM) itu buat julung kalinya akan disertai sebanyak 104 peserta dari 12 Kolej Komuniti, tiga buah politeknik serta sembilan Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta.
Pengarah Akademi Pelancongan Langkawi, Zainab Othman berkata, para peserta kejohanan tersebut adalah dari dalam dan luar negara termasuk 21 orang dari China, Arab Saudi, Iran, Nigeria, Tanzania, Pakistan, Yemen, Uganda, Kenya dan Thailand.
"LIEC 2013 ini merupakan program khas di bawah Bahagian Sukan, Sektor Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama antara Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (JPKK) dan Langkawi Tourism Academy@KKLangkawi sebagai penganjur program," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, LIEC 2013 juga merupakan program tahunan sejak 2009 dan kini memasuki edisi kelima dengan penjenamaan semula daripada Langkawi Extreme Challenge (LEC) kepada LIEC.
Secara keseluruhannya, katanya, LIEC 2013 merupakan program yang berbentuk sukan lasak melibatkan aktiviti darat dan gunung yang menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta dengan penglibatan pelajar-pelajar IPT, Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh negara.
"Edisi kali ini memerlukan peserta untuk berlari merentas desa di laluan yang ditetapkan, mengayuh basikal melalui trek off road serta mendaki dan menuruni Gunung Raya.
"Kesemua disiplin ini perlu dilakukan semua peserta dengan jayanya dan di samping aktiviti yang melibatkan para peserta, kami turut menyediakan acara sampingan kepada jemputan yang hadir," katanya.
Antaranya, Zainab berkata, aktiviti berbasikal melibatkan sebanyak 10 tetamu kehormat yang hadir ketika majlis pembukaan iaitu mereka akan melalui laluan sama dilalui para peserta LIEC 2013.
Beliau berkata, majlis perasmian LIEC 2013 Sabtu ini di pekarangan Underwater World akan dihadiri Setiausaha Bahagian Sukan (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan Tinggi, Hazally Jali.
Menurutnya, majlis penutup pula akan diadakan Isnin ini di Resort World, Langkawi dan akan disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancang dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr. Yusof Ismail. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment