My Add

Thursday 28 November 2013

Pemuda UMNO lantik 10 lagi Exco

Oleh HUSSAINI AMRAN dan SYUKRI SHAARI
 * KHAIRY Jamaluddin (duduk, dua dari kanan) mengadakan sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Exco Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Khairul Azwan Harun (duduk, tiga dari kiri)
KUALA LUMPUR, RABU, 27 November, 3013: Pemuda UMNO melantik 10 lagi Exco termasuk dua profesional muda berusia sekitar 20-an sebagai tambahan kepada 20 Exco yang memenangi pemilihan sayap itu bulan lalu.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin yang mengumumkan senarai kepemimpinan pergerakan itu berkata, dua profesional tersebut ialah Shahril Suffian Hamdan dan Ar Rahman Hussin.

Selain itu, beliau juga mengumumkan pembahagian portfolio melibatkan 27 biro dalam sayap berkenaan bagi penggal 2013 - 2016 dan lantikan Ketua serta Timbalan Ketua Pemuda UMNO setiap negeri.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dilantik mengetuai Jawatankuasa Pengurusan Pergerakan Pemuda UMNO manakala Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenom, Jamawi Jaafar sebagai Ketua Penerangan sayap tersebut.

Dua biro baharu diwujudkan iaitu Biro Perkaderan Politik dan Biro Kepenggunaan, Alam Sekitar dan Kualiti Hidup manakala Biro Hal Ehwal Bandar dinamakan semula sebagai Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan.

Menurut Khairy, setiap biro di bawah Pemuda UMNO dikehendaki melantik seorang mahasiswa dan seorang profesional muda dalam barisan ahli jawatankuasanya.

Selain itu, jelas beliau, setiap biro perlu mematuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan sebagai penanda aras pencapaian mereka setiap tahun.

"Melalui kaedah itu, kita percaya Pemuda UMNO akan melakukan yang terbaik untuk mendekati pengundi muda, sekali gus mendapatkan sokongan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Exco Pemuda UMNO di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Khairy berharap, perwakilan Pemuda UMNO akan memainkan peranan sebagai suara generasi muda pada Perhimpunan Agung UMNO minggu depan.

"Saya sendiri akan membangkitkan isu-isu berkaitan generasi muda, selain tentang agama dan bangsa," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, Pemuda UMNO akan memantapkan lagi proses pengkaderan menerusi penubuhan sebuah institusi yang bakal dinamakan sebagai Akademi Kepimpinan Kapten Hussein Onn.

Menurutnya, hasrat untuk mewujudkan institusi tersebut secara dasarnya dipersetujui oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan memberitahu, proses pengkaderan Pemuda UMNO akan memberi tumpuan khusus kepada latihan pemimpin pelapis dalam kalangan ahli sayap berkenaan, mahasiswa dan profesional muda.

"Kualiti latihan yang disediakan akademi itu boleh diibaratkan seperti yang terdapat dalam maktab pegawai tentera. Kita akan pilih yang terbaik untuk menyertainya," katanya. - UTUSAM

16 

No comments:

Post a Comment