My Add

Friday 29 November 2013

Polis tembak rakan terlepas hukuman gantung
ALOR SETAR, KHAMIS, 28 November, 2013: Seorang anggota polis yang menembak rakan setugasnya sehingga mati di hadapan pintu masuk utama, Istana Anak Bukit terlepas daripada hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati dia tidak waras ketika melakukan perbuatan itu tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab bagaimanapun memerintah Rosli Abu Hassan, 27, yang berpangkat Lans Koperal dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan Hulu Kinta, Perak sehingga mendapat perkenan Sultan Kedah.

Perintah itu berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 348(2) Kanun Tatacara Jenayah yang menyatakan raja sesebuah negeri boleh memerintahkan seseorang dikurung di hospital psikiatri untuk seberapa lama sehingga mendapat perkenan baginda.

Mohd. Zaki dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan berjaya membuktikan keraguan munasabah terhadap kes berikutan keadaan mental tertuduh yang tidak stabil ketika kejadian sehingga menyebabkan kematian Muhammad Sobri Md. Sidek.

“Tertuduh dalam keterangannya menyatakan dia berada dalam keadaan tidak sedar dan tidak tahu apa yang dia buat. Tertuduh mendakwa masa kejadian dia nampak di sisi mangsa ada hantu dan selepas itu dia tidak ingat apa yang berlaku.

“Mangsa ditembak dengan menggunakan senjata M16 yang telah dibuktikan dibekalkan kepada tertuduh untuk mengawal istana," kata beliau.

Menurut Mohd. Zaki, dakwaan itu disokong oleh laporan Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Hospital Bahagia, Datuk Dr. Suarn Singh Jasmit Singh yang menyatakan tertuduh mengalami skizofrenia semasa kejadian.

“Mahkamah mendapati pembelaan yang dibuat adalah lengkap dan tertuduh dilepas dan dibebaskan tetapi perlu dihantar ke Hospital Bahagia untuk menjalani rawatan sehingga mendapat perkenan Sultan Kedah," kata beliau.

Rosli didakwa membunuh Muhammad Sobri, 25, di hadapan pintu masuk utama, Istana Anak Bukit di sini kira-kira pukul 5.45 petang, 26 April tahun lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Ab. Rashid mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan mengemukakan 13 saksi manakala peguam P. Ashokumar yang mewakili tertuduh memanggil empat saksi termasuk seorang pakar psikiatri yang mengesahkan, ketika kejadian tertuduh menghidap skizofrenia.

Dalam pada itu, ibu Rosli, Chekunea Merah, 53, pula memberitahu, dia tidak berhenti berdoa sejak kejadian itu dengan harapan anaknya dibebaskan daripada tuduhan itu.

“Setiap minggu saya buat bacaan Yasin di rumah supaya anak saya selamat dan bersyukur dengan keputusan ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment