My Add

Thursday, 28 November 2013

Keluarga harap Siti Aishah pulang

 * HASNAH Abdul Wahab (kiri) dan Siti Zawiyah Othman sentiasa menanti kepulangan Siti Aishah yang menjadi hamba 30 tahun di London ketika ditemui di Kampung Binjai Kuala Klawang, Jelebu, semalam.
JELEBU, RABU, 27 November, 2013: Hasnah Abdul Wahab, 88, memegang sekeping gambar lama, sambil mengharapkan adik kesayangan yang terpisah sejak tahun 1968 pulang ke pangkuan keluarga.

Hari ini harapannya hampir menjadi nyata apabila dia menerima berita bahawa wanita Malaysia yang ditemui sebagai mangsa penghambaan domestik di London ialah adiknya, Siti Aishah, 69.

Berita gembira itu disampaikan menerusi telefon oleh adik perempuannya, Kamar Mahtum, 73, yang kini berada di London kepada Siti Zawiyah Othman, 55, iaitu anak kepada Hasnah.

''Saya terima panggilan daripada ibu saudara (Kamar Mahtum) hari ini memaklumkan wanita yang ditemui di London itu memang benar adalah adik kepada ibu saya iaitu Siti Aishah,'' kata Siti Zawiyah kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Menurut Siti Zawiyah, keluarganya pernah mencuba pelbagai ikhtiar untuk mencari Siti Aishah di London sebelum ini.

Hasil pencarian tersebut katanya, bapa saudaranya berjaya menemui Siti Aishah sebanyak dua kali sebelum dia terus menghilangkan diri.

''Dahulu adik lelakinya pernah bertugas di London sebagai pegawai bank dan peluang itu digunakan untuk mencarinya. Dia pernah bertemu dengannya sebanyak dua kali, namun selepas itu senyap tanpa perkhabaran," katanya.

Siti Zawiyah berkata, dia juga pernah berjumpa ibu saudaranya itu ketika berusia 10 tahun.

Dalam pada itu, dia menyangkal laporan sebuah portal berita bahawa ibu saudaranya melarikan diri ke London sedangkan Siti Aishah mendapat biasiswa Komanwel dalam bidang juru ukur bahan selepas tamat pengajian di Kolej Tunku Kurshiah.

Siti Zawiyah menjelaskan, Siti Aishah cenderung kepada ideologi berhaluan kiri kerana dia komited tentang memperjuangkan nasib rakyat.

Dalam masa sama, dia tidak menolak kemungkinan bahawa ibu saudaranya itu mungkin terpengaruh dengan fahaman berkenaan.

''Saya tidak mahu mengulas mengenainya. Saya tahu dia wanita yang mempunyai ideologi yang berbeza tetapi mungkin pendekatannya adalah salah, itu kita tidak nafikan. Kita pun tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada dirinya sehingga dia jadi begitu," katanya.

Siti Zawiyah turut berharap agar ibu saudaranya itu dapat kembali ke pangkuan keluarga walaupun sebentar memandangkan taraf kerakyatannya buat masa ini masih menjadi tanda-tanya.

Sementara itu Hasnah yang menghadapi masalah pendengaran berharap dapat menemui Siti Aishah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

''Ini adik saya, saya kenal dan masih ingat sangat dengannya. Dia sangat bijak orangnya dan bersekolah di Kolej Tunku Kurshiah dahulu," kata Hasnah sambil memegang erat sekeping gambar lama Siti Aishah yang merupakan anak ke 11 daripada 12 adik-beradik tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment