My Add

Saturday, 30 November 2013

Kerajaan Negeri Selangor wajar kaji kesan kenaikan gaji ADUN

IPOH, KHAMIS, 28 November, 2013: Kenaikan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang diumumkan semalam harus dinilai kesannya kepada rakyat negeri itu, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Menurut beliau, kerajaan pakatan pembangkang juga perlu menilai sama ada kenaikan yang bakal dinikmati oleh kesemua 56 ADUN negeri itu mulai 1 Januari depan merupakan satu keperluan.

"Kenaikan elaun ADUN Selangor perlu dilihat dari segi tahap keperluannya, sama ada sudah sampai ke paras mana (ia perlu dinaikkan). Inilah yang sangat penting untuk dibuat penilaian.

"Mereka (kerajaan negeri Selangor) kata mereka mampu, dia (Selangor) ibu negeri di mana semua aktiviti (ekonomi) di sana. Saya berpendapat kenaikan ini juga perlu dilihat kesannya kepada rakyat, sejauh mana membebankan rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan kenaikan elaun untuk kesemua 56 ADUN berkuatkuasa 1 Januari depan, dengan Timbalan Speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi iaitu sebanyak 373.3 peratus.

Gaji Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dinaikkan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota Exco kerajaan negeri dari RM6,109.29 kepada RM20,250; Speaker DUN dari RM6,109.29 kepada RM22,500; Timbalan Speaker dari RM3,327.50 kepada RM15,750 dan ADUN dari RM6,000 kepada RM11,250.

Mengenai perbandingan gaji beliau dengan Menteri Besar Selangor yang dinaikkan kepada RM29,250, kata Zambry, gaji Abdul Khalid adalah dua atau tiga kali ganda berbanding gajinya.

"Kita pun teringin juga (kenaikan elaun dan gaji seperti ADUN Selangor). Tetapi bayangkan jika ada kerajaan (negeri) Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan kenaikan elaun dan gaji yang sebegitu, apa respons rakyat dan 'pihak yang di sebelah sana' (pembangkang)?

"Kita (kerajaan negeri) hendak menaikkan (elaun) terpaksa berfikir panjang. Kerajaan negeri Perak belum lagi membuat kenaikkan gaji untuk ADUN, cuma kita beri kenaikan elaun asas untuk ADUN iaitu RM4,000 kepada RM6,000," kata beliau. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment