My Add

Saturday 30 November 2013

Anwar, Azmin sifatkan kenaikan gaji ADUN, Exco terlalu tinggi

Anwar Ibrahim, Azmin Ali
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 November, 2013: Penasihat Ekonomi kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kadar kenaikan gaji kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor termasuk Menteri Besar, Speaker dan Timbalan Speaker DUN serta Exco kerajaan negeri sebagai terlalu tinggi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Penasihat PKR meminta Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya mengkaji semula kadar kenaikan itu yang meningkat antara 87.5 dan 373.3 peratus.

Menurut Anwar, Abdul Khalid sudah menjelaskan alasan mengenai kadar kenaikan itu kepadanya dan kini giliran rakyat pula mendapat penjelasan daripada beliau sendiri menerusi media.

“Saya tidak merasakan kita boleh menggunakan alasan kadar kenaikan gaji di Sarawak. Dalam parlimen walaupun ada usul kenaikan gaji sebelum ini, kita setuju sebab sudah begitu lama tidak dinaikkan.

“Pada saya kenaikan itu wajar tetapi apa yang berlaku, adalah terlalu tinggi dan tidak seperti yang diuar-uarkan sebelum ini. Kita setuju (kenaikan) sebab sudah begitu lama tidak dinaikkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas tindakan DUN Selangor semalam yang meluluskan kenaikan gaji kesemua ADUN berkuat kuasa tahun hadapan dengan Timbalan Speaker menerima kenaikan tertinggi iaitu sebanyak 373.3 peratus.

Selain disebabkan bebanan tugas yang dipikul wakil rakyat, antara alasan yang dikemukakan Abdul Khalid mengenai kadar kenaikan itu adalah berdasarkan formula 75 peratus daripada gaji dan elaun yang diterima wakil rakyat Sarawak.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, Mohamed Azmin Ali meminta supaya kerajaan Selangor menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji tersebut agar penilaian semula dengan kadar berpatutan dapat dilakukan.

Sambil menyifatkan kadar kenaikan itu juga sebagai terlalu tinggi, beliau yang juga Timbalan Presiden PKR menafikan kadar kenaikan mendadak itu berpunca daripada desakan pihaknya.

“Kami langsung tidak menyebut tentang kenaikan gaji ADUN atau Exco Selangor dalam memorandum BBC Selangor yang dihantar kepada kerajaan negeri. Apa yang kami sentuh hanya mengenai soal pembangunan, pendidikan, belia dan sebagainya.

“Malah kerajaan negeri langsung tidak berbincang dengan BBC Selangor serta pihak-pihak berkepentingan mengenai perkara ini. Dalam masa tidak sampai seminggu selepas mereka kata nak kaji kadar kenaikan ini, tiba-tiba semalam mereka dah mengumumkannya," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment