Oleh ROZIANAH RISMAN
Hamidzun Khairuddin |
Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, pertambahan sebanyak 87 peratus hingga 373.3 peratus dilihat tidak munasabah bagi negeri yang masih mempunyai masalah dari segi infrastruktur.
"Peruntukan kewangan sepatutnya dilebihkan untuk menangani masalah-masalah yang dihadapi rakyat seperti perkhidmatan air yang tidak memuaskan, keadaan longkang tersumbat, jalan raya berlubang dan sungai terbiar.
"Kenaikan gaji tidak salah, malah menjadi keperluan. Namun biarlah dilakukan secara berhemah. Janganlah keterlaluan dalam perbelanjaan saraan ADUN tanpa mengambil kira kepentingan rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 ADUN, berkuat kuasa 1 Januari depan, dengan Timbalan Speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi iaitu 373.3 peratus.
Rang Undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji Menteri Besar Selangor, Speaker DUN dan barisan Exco kerajaan negeri.
Tambah Hamidzun, kerajaan negeri seolah-olah mengambil kesempatan terhadap kewangan yang diperoleh daripada hasil cukai yang dipungut daripada rakyat.
"Lihat sahaja dari segi pungutan cukai, lewat membayar cukai pintu, dikenakan denda sehingga RM200, lambat melunaskan cukai tanah, dikenakan denda RM100.
"Seolah-olah pihak kerajaan negeri mengambil kesempatan terhadap wang yang diperoleh daripada hasil tekanan yang dikenakan terhadap pembayar cukai," katanya.
Beliau berkata, sidang tersebut sepatutnya mengusulkan sekali kenaikan gaji kakitangan kerajaan negeri itu memandangkan mereka turut bekerja bersama pemimpin-pemimpin tersebut dalam mentadbir Selangor.
"Kenaikan kakitangan kerajaan negeri perlu setimpal dengan kenaikan gaji ADUN, sekurang-kurangnya 50 peratus atau 89 peratus," katanya.
Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Prof. Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya merasakan kenaikan gaji Menteri Besar Selangor dan ADUN berkenaan terlalu tinggi.
"Kerajaan negeri dilihat seolah-olah cuba membolot hasil negeri dan lebih mengutamakan gaji mereka daripada kebajikan rakyat.
"Sepatutnya peruntukan kewangan Selangor dilebihkan untuk kegunaan kebajikan rakyat dan usaha pembangunan infrastruktur negeri itu," katanya.
Jelasnya, banyak lagi program dan kegunaan lain yang lebih penting untuk dibiayai daripada menumpukan kenaikan wakil rakyat yang belum menunjukkan prestasi pentadbiran memuaskan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment