My Add

Thursday 28 November 2013

Jeff Ooi ada 10 hari mohon maaf

Oleh AZELI ALI dan FAJAR NUR SURIA AZMAN

PULAU PINANG, RABU, 27 November, 2013: Empat kesatuan pekerja memberi tempoh 10 hari kepada Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi untuk meminta maaf ekoran kenyataan biadab beliau yang menggelar kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai 'kucing kurap' baru-baru ini, jika tidak mereka akan mengadakan piket secara besar-besaran.

Empat kesatuan berkenaan iaitu Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae), Kesatuan Perkhidmatan Perbandaran, Kesatuan Buruh Majlis dan Kesatuan Pegawai-pegawai Kanan MPPP yang dianggotai lebih 2,000 ahli.

Pengerusi Anulae Cawangan Pulau Pinang, Saleem Sulaiman berkata, kenyataan Jeff Ooi yang juga Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri ketika melawat Pasar Awam Jelutong di sini pada 16 November lalu amat biadab dan tidak seharusnya keluar daripada mulut seorang yang terpelajar dan berjawatan tinggi.

"Apa yang dilakukan oleh Jeff Ooi seolah-olah anjing menyalak bukit dan dialah sebenarnya anjing kurap.

"Sebagai wakil rakyat, dia sepatutnya lebih beradab tidak kira dengan sesiapa pun dan dia perlu buang sikap ego, rakus serta kurang ajar. Kami pun ada maruah dan dia tidak sepatutnya bersikap bongkak seperti itu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah wakil-wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Saleem menambah, pihaknya juga memutuskan untuk memboikot semua lawatan rasmi yang disertai Jeff Ooi ke tempat-tempat awam selagi tiada sebarang permohonan maaf dibuat.

"Saya yakin kalau kita adakan piket, pastinya sokongan lebih besar mampu diterima termasuk daripada kakitangan lain di bawah kerajaan negeri.

"Jeff Ooi dilihat seolah-olah ingin menarik perhatian dan meraih populariti murahan dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian sehingga dia lupa bahawa kakitangan bawahan MPPP inilah yang menaikkan nama pihak berkuasa tempatan itu ke peringkat antarabangsa," ujarnya.

Jelasnya, pihak kesatuan juga akan menghantar surat bantahan rasmi kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng agar tindakan diambil terhadap Jeff Ooi.

Walau bagaimanapun katanya, sikap membisu Guan Eng sehingga kini seolah-olah menunjukkan tiada tindakan akan diambil terhadap 'rakan baiknya' itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment