My Add

Tuesday 15 May 2012

6,000 akan dapat pekerjaan

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

KUALA LUMPUR: Lebih 6,000 pencari kerja yang mengunjungi Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BNYJF) di Stadium Nasional Bukit Jalil, berakhir kelmarin akan ditawarkan pekerjaan dalam tempoh satu hingga dua bulan. 

Pengerusinya, Nazir Hussin Akhtar Hussin, berkata daripada 15,000 permohonan melalui dalam talian serta resume yang diterima, sebahagiannya dijangka ditawarkan mengisi kekosongan jawatan di pelbagai sektor, termasuk teknologi maklumat, perakaunan, kejuruteraan dan pengilangan.

Katanya, proses senarai pendek permohonan bagi mencari kelayakan tertentu berdasarkan rekod pencapaian serta kriteria calon sedang dinilai majikan.

“Melalui maklum balas (majikan), lebih lima kali ganda permohonan diterima (daripada tawaran) sepanjang tiga hari karnival dan mereka (majikan) memerlukan tempoh sebulan untuk membuat semakan bagi setiap permohonan. 

“Malah penganjur akan membuat iklan semula di laman web www.bnyouthjobfair.my bermula minggu depan bagi memaklumkan pekerjaan yang masih kosong dan belum diisi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

BNYJF yang menawarkan peluang kerjaya menerusi penyertaan 40 gerai pameran dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta bersempena sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-66 itu berjaya menarik 33,000 pengunjung. 

Karnival yang menggunakan slogan ‘Kerjaya, Pencapaian, Pelajaran dan Pemilikan Rumah (CASH)’ itu bukan saja memfokus dalam pencarian pekerjaan, malah merangkumi usaha pembangunan kerjaya, pelajaran dan peribadi generasi muda. 

Nazir berkata, konsep utama yang diketengahkan BNYJF bukanlah hanya tertumpu kepada pencarian kerja saja, bahkan meliputi peluang menjana dan mencari pendapatan lain melalui perniagaan. 

Penyertaan agensi kerajaan dan perbankan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Permodalan Nasional Berhad serta Bank Rakyat membantu memberi peluang kepada pencari kerja menceburi bidang perniagaan dan usahawan. 

Sementara itu, Nazir berkata, selepas kejayaan BNYJF di Lembah Klang yang berakhir kelmarin, ia akan disusuli Kuching pada 7 hingga 8 Julai; Sabah (22-23 September), Pulau Pinang (6-7 Oktober), Perak (13-14 Oktober), Terengganu (2-3 November), Negeri Sembilan (16-17 November) dan peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 23 hingga 25 November ini. -   BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment