My Add

Friday, 18 May 2012

BN komited jaga kebajikan rakyat

*RAJA Hanipuddin Raja Nong Chik (tiga dari kanan) bersama Wong Fong Leng (dua dari kanan) bertanya khabar kepada Manan Mat Kilau (terbaring) yang mengalami strok semasa mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan pada Program Tautan Kasih di Taman Medan, Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari

PETALING JAYA, KHAMIS, 17 Mei, 2012: Pelbagai program dan aktiviti turun padang yang dilaksanakan secara berterusan oleh setiap wakil bahagian Barisan Nasional (BN) adalah bukti kepimpinan parti sehingga akar umbi sentiasa komited terhadap peranan menjaga kebajikan rakyat.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Datuk Raja Hanipuddin Datuk Raja Nong Chik berkata, pemimpin komponen BN perlu bergerak aktif agar masyarakat setempat merasa akrab terhadap parti, sekali gus berani tampil memberi maklum balas mengenai apa sahaja perkara yang ingin disuarakan.

Hasil pendekatan itu kata beliau, pelbagai luahan, rintihan dan bantuan yang diperlukan masyarakat setempat tidak mengira fahaman politik, kaum atau agama dapat diselesaikan dan disalurkan secara berkesan.

"Kita tidak mahu berjanji kosong tetapi akan berusaha membantu selagi termampu agar kebajikan rakyat terbela.

"Masyarakat harus faham bahawa UMNO hanyalah badan perantara dan mereka tidak perlu takut untuk tampil ke mana-mana kepimpinan sekiranya memerlukan bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika penyampaian sumbangan Tautan Kasih dan pemberian akhbarUtusan Malaysia sempena Kempen 1Rumah 1Utusan untuk diedarkan kepada penduduk di kawasan Parlimen itu.

Hadir sama ialah Ketua Wanita MCA Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datin Wong Fong Leng dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Munaliza Hamzah.

Raja Hanipuddin berkata, rakyat jangan terpengaruh dengan tohmahan pembangkang yang menuduh segala bantuan yang disalurkan kerajaan bertujuan meraih simpati dan sokongan menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Ia adalah tohmahan yang tidak masuk akal dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab kerana setiap bantuan yang kita salurkan adalah demi manfaat rakyat semata-mata.

"Bagi kawasan Parlimen ini sendiri sejak 2008, pelbagai program jalinan mesra rakyat dan bantuan dilakukan secara berterusan kepada pelbagai golongan serta lapisan masyarakat walaupun bukan musim pilihan raya serta di negeri bukan dikuasai BN.

"Bantuan itu sentiasa disusuli sepanjang tahun termasuk baik pulih perumahan golongan miskin, perubatan, persekolahan, bantuan ihsan kepada yang sakit serta bantuan menyelesaikan masalah air, sampah termasuk keluhan masalah daripada golongan penjaja di sini," jelasnya.

Raja Hanipuddin berharap rakyat memberi peluang kepada BN untuk memimpin agar segala usaha yang dirancang kerajaan dapat diteruskan dan diperbaiki sebaiknya.

Mengulas program Tautan Kasih hari ini katanya, seramai 47 penerima yang hilang punca pendapatan akibat sakit telah dikunjungi dan diberikan bantuan.

"Kita akan lakukan yang terbaik bagi membela nasib mereka kerana ada di antara mereka yang pernah menabur bakti kepada masyarakat setempat selain ada yang sudah hilang kudrat untuk bekerja demi menampung kehidupan seharian," katanya.

Seorang penerima, Kalsum Mohd. Idris, 63, berkata, dia bersyukur kerana kepimpinan UMNO bahagian sudi melawat suaminya, Manan Mat Kilau, 69, yang sudah terlantar sejak dua minggu lalu akibat lumpuh.

"Terima kasih atas bantuan yang diberikan hari ini dan bersyukur atas kesungguhan Datuk Raja Hanipuddin yang mahu membawa suami mendapatkan rawatan di hospital," ujarnya.

Bekas pengawal keselamatan, Yahya Ismail, 59, berkata, dia dan isteri terkejut atas kesudian pemimpin UMNO datang menjenguk nasibnya yang kehilangan betis akibat pembedahan penyakit kencing manis baru-baru ini.

"Diharapkan sumbangan yang diberikan ini akan disusuli dengan bantuan lain yang selayaknya kepada kami, terutama bantuan perubatan agar dapat meringankan kos sara hidup seharian.

"Besar harapan saya agar pemimpin kerap turun padang untuk melihat sendiri nasib segelintir masyarakat yang dirundung kemiskinan dan sebagainya," katanya.

Seorang penerima lagi, Mohd. Sharif Abdul Jaabar, 53, berkata, diharapkan kunjungan itu memberi sinar baru bagi keluarganya yang sekian lama menanti bantuan daripada pihak bertanggungjawab.

"Sudah lima tahun saya tidak dapat bekerja akibat penyakit jantung yang dialami dan bergantung harap kepada pendapatan isteri mengasuh anak jiran.

"Saya berharap bantuan lain akan turut menyusul terutama bantuan perubatan dan persekolahan memandangkan empat anak masih bersekolah," ujarnya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment