My Add

Tuesday 8 May 2012

Eksport industri perkayuan RM20 bilion tahun lalu

KUALA LUMPUR, ISNIN, 07 Mei, 2012: Eksport kayu Malaysia dan produk-produk berasaskan kayu dijangka meningkat lima peratus tahun ini berbanding RMM20.03 bilion tahun lalu, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin.

Katanya, dalam tempoh dua bulan tahun ini, eksport kayu dan produk berasaskan kayu mencecah RM3.2 bilion, kenaikan 5.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

''Jepun, Amerika Syarikat dan India kekal sebagai destinasi eksport utama,'' katanya selepas merasmikan mesyuarat agung ke-43 Kumpulan Penyelidikan Antarabangsa Perlindungan Kayu.

Hamzah berkata, industri kayu berada pada landasan yang betul untuk mencapai objektif Polisi Industri Perkayuan Negara (NATIP), untuk menjana pendapatan eksport sebanyak RM52 bilion menjelang tahun 2020.

''Sebagai tambahan NATIP juga memberi penekanan kepada pertambahan nilai tambah produk-produk eksport kepada 60 peratus daripada 42 peratus sekarang.

''Berikutan itu, ia adalah satu keperluan bagi industri berasaskan kayu meningkatkan kecekapan dan mengambil pendekatan bersama untuk memastikan pembangunan berterusan,'' tambahnya.

Hamzah berkata, kementerian itu juga sedang memperhebatkan usaha mempromosi dan mendidik pakar-pakar industri luar negara dengan standard dan pensijilan kayu Malaysia.

''Kami bekerja keras untuk membuktikan bahawa kayu Malaysia mematuhi standard dan perundangan antarabangsa.

''Saya ke Itali baru-baru ini bersama delegasi kerajaan untuk berjumpa dan berbincang dengan sebuah universiti utama untuk melihat semula arkitek, rekaan dan kejuruteraan industri kayu tempatan,'' ujarnya.

Hamzah berkata, segmen perniagaan perabot Malaysia perlu lebih kreatif supaya tidak ketinggalan dalam industri yang sedang berkembang ini.

''Mereka perlu lebih inovatif dalam rekaan dan kos.

''Dalam kecekapan kos, Malaysia masih belum cukup kompetitif seperti China dan Vietnam, biarpun kedua-dua negara itu masih ketinggalan dari segi rekaan berbanding Eropah,'' kata Hamzah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment