My Add

Tuesday 8 May 2012

Peniaga gagal tuntut RM28.6j

Mahkamah Persekutuan sah keputusan ketepi bayaran ganti rugi 

PUTRAJAYA, ISNIN, 07 Mei, 2012: Mahkamah Persekutuan semalam, mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan bayaran ganti rugi RM28.6 juta kepada Tang Hak Hu atas kehilangan keuntungan dan nama baik dalam urusan tanah.

Panel lima anggota diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, sebulat suara menolak permohonan kebenaran Hak Hu bagi merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Januari lalu.

Zulkefli memutuskan Hak Hu gagal memenuhi syarat mengikut Seksyen 96 (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 supaya kebenaran diberikan kepada ahli perniagaan itu. 

Anggota panel itu turut disertai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Datuk Hasan Lah, Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Sulong Matjeraie. 

Pada 4 Oktober 2005, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan bayaran ganti rugi itu kepada Hak Hu kerana hilang keuntungan, perbelanjaan membazir dan hilang nama baik yang kuantum akan ditaksir oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi. 

Keputusan Mahkamah Tinggi itu berpihak kepada Hak Hu yang menyaman responden, Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Pendaftar Hak Milik Tanah Pulau Pinang dan Pentadbir Tanah Daerah Seberang Prai Tengah atas pembatalan geran sebidang tanah seluas 4.3 hektar di Seberang Prai yang diluluskan responden bagi tujuan menjalankan kegiatan kuari. 

Timbalan Pendaftar membuat taksiran ganti rugi RM28.24 juta kepada Hak Hu atas hilang keuntungan, RM658,271 atas perbelanjaan pembaziran, RM450,000 atas kehilangan nama baik bersama dengan faedah lapan peratus. 

Jumlah termasuk faedah mencecah kira-kira RM40 juta. 

Atas rayuan pihak responden, Mahkamah Rayuan mengetepikan ganti rugi RM28.24 juta dan memerintahkan supaya taksiran dilakukan semula. 

Mahkamah Rayuan juga mengetepikan ganti rugi RM450,000 atas kehilangan nama baik dan mengurangkan jumlah ganti rugi bagi perbelanjaan pembaziran kepada RM481,785. 

Mahkamah itu juga memerintahkan Hak Tu supaya memulangkan semula kira-kira RM14.09 juta daripada RM14.67 juta dibayar sebelum itu oleh pihak responden berikutan perintah Mahkamah Tinggi. 

Peguam, Datuk Bastian Vendargon mewakili Hak Hu manakala responden diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment