My Add

Tuesday 8 May 2012

Giliran Pandelela sumbang emas

*PAMDRLELA Rinong melakukan formasi terbaiknya untuk meraih pingat emas acara terjun 10 meter platform Kejohanan Terjun Motreal di Kanada, semalam. - REUTERS

Oleh TAN MING WAIRS
KUALA LUMPUR, ISNIN, 07 Mei, 2012: Selepas gandingan Bryan Nickson Lomas-Huang Qiang menghasilkan kilauan pingat emas sulung, Sabtu lalu, tiba giliran ratu terjun negara, Pandelela Rinong menceriakan kem Malaysia pada hari terakhir Grand Prix Terjun Montreal di Kanada, semalam.

Dia menjuarai acara 10 meter platform dengan persembahan terbaik kariernya setakat ini.

Lima terjunan Pandelela (72.0, 72.5, 64.0, 86.4 dan 84.8) menghasilkan kutipan mata memberangsangkan 379.70, yang tertinggi pernah diraihnya dalam mana-mana kejohanan atau temasya antarabangsa.

Aksi mantap anak gadis kelahiran Bau, Sarawak yang baru dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2011 itu sekali gus mengetepikan cabaran sengit oleh dua jaguh yang pernah ditewaskannya pada Sukan Komanwel New Delhi dua tahun lalu, Roseline Filion (364.85) dari Kanada dan penerjun Australia, Melissa Wu (360.25).

Pemenang gangsa Kejohanan Dunia Rome 2009, Kang Li dari China di tempat keempat dengan catatan 357.00 kiraan mata.

Meskipun tanpa kehadiran pasangan sensasi China, Chen Ruolin dan Hu Yadan serta juara dunia 2009, Paola Espinosa dari Mexico, Pandelela tidak dijangka dapat menang memandangkan dirinya tidak berada pada tahap prestasi terbaik selepas bergelut pada pusingan saringan dan separuh akhir.

Pandelela sekadar menduduki tempat kelima pada peringkat saringan dengan 323.25 mata manakala di separuh akhir, dia hanya menempah tiket ke final selepas menghuni tangga ketiga separuh akhir dengan skor 343.50 mata.

Kebimbangan bertambah sehari selepas itu apabila aksi goyah dia dengan Leong Mun Yee menyaksikan pasangan prospek pingat Olimpik negara itu gagal meraih podium dalam acara seirama.

Bagaimanapun, Pandelela kembali ke platform semalam dengan mutu persembahan yang bukan sahaja melenyapkan segala keresahan, malah membawa makna tersirat 'pingat Olimpik dalam jangkauan'.

Kemampuan Pandelela menghampiri skor 380 mata adalah penting kerana itulah angka yang perlu dicecah jika berhasrat meraih pingat di Temasya London nanti.

Ruolin, Yadan dan Espinosa adalah kelompok penerjun platform wanita yang mampu meledak lebih 400 mata apabila prestasi mereka memuncak dan melakukan kesilapan minima.

Sementara itu, penampilan sulung Qiang dalam final 3m papan anjal individu juga berakhir dengan nota positif biarpun terlepas kedudukan podium.

Bekas juara kebangsaan China berusia 30 tahun itu menamatkan saingan di tempat keempat selepas mengutip 462.55 mata, di belakang penerjun Australia, Ethan Warren (511.75), jaguh tuan rumah, Alexandre Despatie (497.20) dan Javier Illana (482.60) dari Sepanyol yang menguasai tiga tangga teratas.

Untuk Qiang yang bersara pada 2005 sebelum kembali berlatih sepenuh masa sejak awal tahun ini, ia sememangnya dianggap satu persembahan yang berhak mendapat pujian.

Secara keseluruhannya, dua butir emas dan empat finalis dalam kesemua acara individu, mencerminkan peningkatan ketara skuad terjun negara yang sebelum ini lebih berupa pelengkap angka penyertaan di kejohanan bertaraf GP ini.

Diharapkan pencapaian itu diteruskan pula pada GP Fort Lauderdale, Amerika Syarikat, bermula Khamis ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment