My Add

Tuesday 8 May 2012

Pengusaha bakal rugi besar

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR, ISNIN, 07 Mei, 2012: Para pengusaha perkhidmatan haji dan umrah bakal menanggung kerugian kira-kira RM280 juta setahun sekiranya kerajaan Arab Saudi melarang rakyat negara ini daripada mengerjakan ibadat itu.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Daud Che Ngah berkata, sebanyak 26 pengusaha perkhidmatan haji dan umrah berlesen di negara ini bakal menutup perniagaan mereka kerana menanggung kesan kerugian besar tersebut.

Menurut beliau, sebagai contoh pada tahun lalu, pihaknya terpaksa menanggung kerugian RM3.8 juta apabila Arab Saudi mengarahkan untuk mengurangkan jumlah jemaah umrah daripada 1,400 kepada 1,000 orang.

‘‘Bayangkan jika Arab Saudi tidak membenarkan rakyat negara ini menunaikan haji atau umrah selama tiga tahun, apa yang akan terjadi kepada nasib kami.

‘‘Bukan niat saya untuk mengira keuntungan, tetapi memikirkan nasib umat Islam terutamanya warga emas yang terpaksa menunggu lama untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa negara bakal berhadapan larangan daripada menunaikan haji atau umrah untuk tempoh tertentu berikutan tindakan sekumpulan rakyat Malaysia menganjurkan perhimpunan haram Bersih 3.0 di Mekah dan Madinah.

Menurut Zahid, Arab Saudi sebelum ini pernah melarang sebuah negara Islam daripada mengerjakan haji atau umrah selama tiga tahun kerana terdapat rakyatnya mengadakan demonstrasi di tanah suci tersebut.

Dalam pada itu, Mohd. Daud kesal dengan tindakan penganjur perhimpunan haram Bersih 3.0 yang mengadakan demonstrasi di Mekah dan Madinah kerana ia merupakan perbuatan zalim dan menjadi punca penghalang kepada umat Islam negara ini untuk beribadat.

‘‘Dalam ayat 25 Surah Al-Hajj, Allah telah berfirman yang bermaksud; ‘‘Amat zalim manusia yang menghalang orang ramai daripada memasuki Mekah bagi tujuan beribadat dan sesiapa yang melakukan perbuatan itu, Allah akan memberikan azab yang pedih.

‘‘Mekah dan Madinah adalah tanah suci umat Islam, kenapa mereka sanggup mencemarkan dua tempat itu dengan mengadakan demonstrasi yang bertujuan menggugat keamanan sebuah negara Islam,’’ katanya.

Sementara itu, Operator Jualan TH Travel & Services Sdn Bhd, Baharudin Mohd. Amin berkata, pihaknya akan menanggung kerugian sebanyak RM13 juta setahun sekiranya larangan itu benar-benar terjadi.

‘‘Kami berharap, pihak Arab Saudi tidak akan mengambil tindakan melarang rakyat kita untuk mengerjakan haji atau umrah,’’ katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment