My Add

Tuesday 8 May 2012

Kad diskaun pelajar bulan depan

KUBANG PASU, ISNIN, 07 Mei, 2012: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memperkenalkan kad diskaun kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) pada bulan depan demi meringankan beban golongan tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, kaedah itu membolehkan penuntut menikmati harga diskaun 10 hingga 30 peratus bagi pembelian barangan keperluan pengajian termasuk buku, barangan sukan serta tambang pengangkutan awam.

Katanya, sebagai permulaan, sebanyak 20 syarikat akan menyertai program itu sebagai rakan dagang untuk memberikan potongan tersebut kepada pelajar IPT awam dan swasta.

"Kad diskaun tersebut akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun ini. Dengan memiliki kad ini siswa akan menikmati potongan harga istimewa daripada syarikat yang menyertai program tersebut.

"Kad tersebut dijangka memanfaatkan kira-kira 1.4 juta pelajar IPT di seluruh negara secara berperingkat iaitu fasa pertama pelancarannya kelak akan membabitkan pelajar tahun akhir sebelum diperluaskan kepada pelajar lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UUM 2012, Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Peringkat Kedah dan Menu Rakyat 1Malaysia UUM di kampus berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UUM, Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Ismail Sabri menambah, permintaan mewujudkan kad diskaun tersebut adalah daripada idea siswazah sendiri melalui persidangan Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada tahun lalu yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Usul tersebut kemudian dibawa ke Kabinet dan dibincangkan, seterusnya dipersetujui untuk dilaksanakan. Ini membuktikan bahawa kerajaan amat menitikberatkan kehendak rakyat termasuk sentiasa mendengar keluh-kesah para siswa.

"Biar apa juga masalah, kerajaan akan sentiasa membuka pintu untuk rundingan dengan pelajar. Perkara ini lebih baik daripada mengadakan demonstrasi di jalanan untuk mengutuk kerajaan," katanya.

Bercakap tentang program tersebut, kata beliau, sebanyak 127 IPT di seluruh negara telah menubuhkan GPS dan jumlah tersebut dijangka meningkat berdasarkan maklumat menggalakkan daripada IPT.

"Bagi memacu pelaksanaan GPS ini, kerajaan turut menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM3,000 kepada IPT terbabit iaitu RM1,000 bagi penubuhannya dan RM2,000 bagi pelaksanaan program penggunaan.

"GPS merupakan saluran tepat dalam usaha menerapkan pendidikan kepenggunaan di peringkat IPT," tambah beliau lagi.

Menyentuh mengenai Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) di IPT, tambahnya, sehingga kini terdapat sebanyak 362 premis di 108 IPT di seluruh negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment