My Add

Friday 4 May 2012

Kerajaan masih kekal elemen subsidi bantu rakyat

KUALA LUMPUR KHAMIS, 03 Mei, 2012: Kerajaan masih mengekalkan elemen subsidi di dalam harga barang supaya rakyat tidak terbeban dengan kesan perubahan harga komoditi dunia yang menyebabkan kenaikan harga terlalu mendadak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kerajaan juga telah mengadakan sesi rundingan dengan industri-industri terlibat supaya tidak menaikkan harga produk keluaran mereka secara drastik.

"Kerajaan juga melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengadakan program-program untuk meningkatkan tahap kesedaran pengguna agar mereka menjadi pengguna bijak serta mengetahui hak-hak mereka sebagai pengguna.

"Selain itu, kerajaan juga menjalankan program-program yang bertujuan membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup seperti penubuhan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M)," katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Senator Datuk K.S. Nallakaruppan yang bertanyakan jumlah kenaikan harga barang asas serta barang kawalan dan tindakan KPDNKK bagi melindungi pengguna daripada kenaikan tersebut.

Menurut Rohani, perubahan harga barang berlaku disebabkan pelbagai faktor di luar kawalan kerajaan termasuk perubahan cuaca, bencana alam di negara pengeluar komoditi serta harga pasaran dunia.

Jelasnya, bagi gula yang merupakan barang kawalan, harga barangan itu telah dinaikkan sebanyak empat kali dari tahun 2007 hingga 2012.

"Kenaikan 20 sen sekilogram adalah pada 1 Januari 2010, kenaikan 25 sen sekilogram adalah pada 28 Julai 2010, kenaikan 20 sen pada 4 Disember 2010 dan kenaikan keempat dan terakhir sekali adalah 20 sen sekilogram pada 10 Mei tahun lalu yang menjadikan harga runcit adalah RM2.30," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment