My Add

Friday 4 May 2012

RM82.2b pelaburan domestik dilulus

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 03 Mei, 2012: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri meluluskan sejumlah RM82.2 bilion pelaburan domestik (DDI) bagi tahun 2011 yang merangkumi sektor utama, sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, daripada jumlah tersebut, sektor perkhidmatan mendominasi DDI dengan jumlah pelaburan sebanyak RM48.2 bilion atau 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"DDI yang diluluskan dalam sektor perkilangan adalah dalam industri produk asas logam, peralatan pengangkutan, produk logam fabrikasi dan produk kimia.

"Manakala bagi sektor perkhidmatan pula adalah dalam subsektor hartanah, pengangkutan, hab operasi global dan tenaga," katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Senator Baharuddin Abu Bakar yang bertanyakan peranan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam menggalakkan DDI serta insentif-insentif yang diberikan.

Jelas Mukhriz, kerajaan menyasarkan pelaburan swasta menyumbang sebanyak 92 peratus daripada RM1.4 trilion pelaburan yang diperlukan untuk 12 tahun Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dari tahun 2010 hingga 2020.

"Daripada jumlah pelaburan tersebut, DDI disasarkan untuk menyumbang sebanyak 73 peratus dan 27 peratus lagi adalah daripada pelaburan asing (FDI)," katanya.

Katanya, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif fiskal dan bukan fiskal untuk menggalakkan DDI terutamanya dalam sektor perkilangan.

"Antara insentif utama yang ditawarkan kerajaan adalah galakan Taraf Perintis yang memberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 hingga 100 peratus daripada pendapatan berkanun bagi tempoh lima hingga 10 tahun.

"Selain itu, kerajaan juga menyediakan elaun cukai pelaburan, elaun pelaburan semula, pengecualian duti import ke atas bahan mentah dan pengecualian duti import serta cukai jualan ke atas jentera dan kelengkapan," katanya.

Jelas beliau, kerajaan juga mengenal pasti beberapa sektor yang berpotensi diceburi usahawan tempatan iaitu sektor produk dan perkhidmatan halal; pemuliharaan tenaga dan tenaga hijau; perkhidmatan perniagaan dalam pelancongan kesihatan dan industri gas dan minyak; serta sektor mesin dan peralatan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment