BUKIT MERTAJAM, JUMAAT, 18 Mei, 2012: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan penganiayaan dan pengabaian terhadap seorang bayi berusia dua bulan.
Majistret, Arif Mohd Shariff membenarkan tertuduh, Muhamad Zaidi Jaafar, 31, dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin.
Muhamad Zaidi dituduh melakukan penganiyaan terhadap Muhamad Iskandar Zulkarnain Abdullah hingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi pada jam 9.30 malam, 9 Mei lalu di sebuah rumah di Mukim 3, Kampung Pelet.
Perbuatan itu diketahui selepas bayi itu dibawa ke hospital oleh ibunya, dan hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan kecederaan pada tubuh mangsa, dipercayai didera. Doktor berkenaan kemudian membuat laporan polis.
Muhamad Zaidi didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, J G Kaameni Jaya Raman.
Mahkamah menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment