My Add

Friday, 18 May 2012

Polis rampas Eramin 5 bernilai RM14.9 juta

KUALA LUMPUR: Lima hari selepas tumpasnya sindiket memproses dadah jenis Eramin 5 bernilai RM43 juta di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Klang, Polis Selangor pada Rabu lalu menyerbu stor simpanan utama sindiket itu di sebuah rumah di Kapar, Klang membabitkan rampasan RM14.9 juta. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata hasil serbuan di rumah dua tingkat itu, seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun yang ditugaskan mengawal rumah berkenaan ditahan di rumahnya di Bukit Raja, Klang.

"Di dalam rumah dua tingkat itu, kita merampas 736,330 biji pil Eramin 5 dan 12.3kg bahan ephedrine, bahan utama untuk membuat dadah jenis syabu, alat pengering yang digunakan untuk memproses dadah dan bungkusan dadah yang siap untuk diedarkan," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Noor Rashid berkata, siasatan mendapati lelaki tempatan itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan pemilikan dadah. 

Katanya, polis percaya masih ada saki baki anggota sindiket berkenaan dan polis masih mengadakan operasi dan siasatan lanjut untuk menjejaki suspek terbabit. 

"Dengan kejayaan operasi ini, polis bukan saja berjaya menumpaskan satu sindiket dadah antarabangsa yang memiliki makmal dadah haram memproses Eramin 5 tetapi lebih penting, polis berjaya menyekat bekalan dadah pil ini yang keseluruhannya berjumlah 3.76 juta pil daripada memasuki pasaran dadah tempatan untuk disalahgunakan," kata Noor Rashid. 

Dalam serbuan Sabtu lalu, polis menangkap 25 anggota sindiket termasuk warga Taiwan dan Nepal dalam 15 serbuan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Klang. 
Sepuluh orang ditahan di Pulau Pinang, enam di Klang dan selebihnya ditahan di sekitar Kuala Lumpur. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment